EDMODO Teacher Manual Guide

Pembelajaran Alaf-21 menekankan kepentingan penggunaan teknologi maklumat sebagai akses utama pembelajaran murid-murid. Salah satu perisian secara ‘online learning’ yang dapat digunakan oleh para guru ialah melalui EDMODO.COM.

Di sini saya sertakan Manual Penggunaan EDMODO untuk para guru/ ibu bapa yang ingin mengaplikasikan penggunaan laman ini untuk kegunaan pembelajaran maya.

[Arahan]

1. Sila klik pada pautan di bawah untuk muat turun manual penggunaan untuk para guru dan ibu bapa.

2. Sila klik pada gambar untuk ke laman web EDMODO

Muat turun manual penggunaan di sini:

[Edmodo_Teacher_Guide]

Klik gambar untuk ke EDMODO.COM

Edmodo

Advertisements

Muat Turun Takwim Akademik IPGM 2014

Para pelajar yang ingin mendapatkan Takwim Akademik dan Profesional IPGM, sila klik pada pautan di bawah:

[Takwim IPGM 2014]

Gambar Takwim

The Carrot, The Egg and Coffee Bean

Sila klik untuk memuat turun kisah inspirasi Carrot, Egg & Coffee Bean

Coffee Bean

Carrot, Egg & Ce Beanoffe

Harapan Untuk Bakal Pemimpin

leader

Saya sangat teruja dengan keperibadian dan semangat yang ditunjukkan oleh calon-calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) yang akan bertanding dalam pilihan raya kampus, IPG Tengku Ampuan Afzan bagi sesi 2014/2015  ini. Saya hadir dalam majlis pengumuman calon pilihan raya pada 09 Januari 2014 yang lalu, semata-mata ingin melihat bakal-bakal pimpinan Mahasiswa IPG Afzan ini dengan lebih dekat. Semangat mereka, inspirasi dan hasrat mereka telah terbukti mampu membawa harapan dan citra baharu dalam kalangan bakal pendidik. Entah mengapa, saya begitu merasakan inilah barisan yang dilihat dan diyakini mampu membawa aspirasi dan perubahan kepada corak pimpinan sebelum ini. Saya memilih untuk menjadi pemerhati sahaja untuk pilihan raya kali ini, dan bukannya sebagai calon. Saya terpaksa tumpukan beberapa perkara yang penting untuk tahun-tahun terakhir ini. Walau bagaimanapun, sokongan saya terhadap hasrat dan citra mahasiswa pendidik ini tidaklah luntur.

Sejak menjejakkan kaki di kampus ini, saya terlalu ingin melihat mahasiswa di sini di barisan hadapan dalam segenap bidang. Saya ingin melihat mahasiswa pendidik ini merupakan mahasiswa yang cakna segala macam perkara, terutamanya pendidikan. Saya juga ingin melihat bakat-bakat pimpinan generasi muda terus menyubur hari demi hari. Saya selalu impikan mahasiswa pendidik yang lahir di sini merupakan mahasiswa yang teguh pendirian dan prinsip, mampu membawa rakan seangkatan agar bertaut di  perdu kejayaan dan bukannya seorang yang lemah serta jumud. Moganya impian dan mimpi saya akan ternyata tidak lama lagi hendaknya. Saat makalah ini ditulis, tentunya calon-calon yang akan bertanding merebut pelbagai kerusi dalam pemilihan akan datang telah mula berkempen, walaupun di alam siber, berFacebook, berTweet dan berblog sebagainya.

Sejak tiga tahun yang lalu, impian dan hasrat saya kepada rakan-rakan yang mencalonkan diri untuk bertanding agar dipilih untuk memimpin tidak pernah berubah. Hasrat yang sama juga saya ulang tatkala musim memilih hampir tiba ke kemuncak. Sejak tiga tahun kebelakangan ini juga, impian saya masih sama (akan saya nyatakan di bawah) dan telah  diulang sebut kepada calon-calon sebelum ini. Malangnya, hasrat saya masih belum terzahir secara tuntas. Maka makalah ini ditulis kembali agar calon-calon yang dipilih kelak akan berusaha sedayanya dan seupayanya agar impian kerdil ini akan ternyata dan terzahir.

Impian saya kepada calon-calon yang bertanding:

Pertama; Saya ingin melihat program-program bicara akademik dihidupkan semula di kampus ini. Entah mengapa sebabnya, sejak dua tahun kebelangan ini, program bulanan “Profesional Talk” dihentikan. Perhimpunan –perhimpunan bulanan yang diadakan hanyalah sekadar ucapan-ucapan biasa daripada pihak pengurusan sahaja dan itu ada kalanya sangat membosankan. Saya ingin bersikap jujur dalam hal sebegini. Pelajar-pelajar hanya dihimpunkan sebulan sekali hanya untuk diberi peringatan yang sama setiap bulan dan berulang-ulang kali? Mengapa agaknya kebiasaan dan budaya ilmu seperti Profesional Talk yang sangat baik itu tidak dilaksanakan lagi? Oleh itu, bagaimana pelajar dan bakal guru ini akan terdedah minda mereka jika program seperti ini pun sudah tidak dilaksanakan? Kita sering bercakap tentang pemikiran kritis, budaya berfikir aras tinggi, tetapi ada kalanya kita terlepas pandang metod yang terbaik dan kita ada kalanya bermimpi sahaja. Justeru, saya berharap bicara siswa / syarahan akademik yang diberi oleh professor-profesor dan tokoh-tokoh akademik dapat diteruskan kembali demi kemaslahatan dan perkembangan daya fikir pelajar.

Kedua; Impian saya agar mahasiswa pendidik guru ini dilibatkan secara langsung dalam pelbagai program sosial dan kemanusiaan. Mengharapkan silibus dan proforma Bina Insan Guru (BIG) semata-mata tidak cukup untuk hanya sekadar beberapa jam, malah mahasiswa dan mahasiswi bakal guru ini perlu dilibatkan untuk lebih terbuka dengan masyarakat, mengambil tahu perihal anak-anak dan gelandangan yang masih ketinggalan dan tidak berpendidikan dan sebagainya. Program-program kesukarelawan yang digerakkan oleh JPP juga mestilah diwujudkan bagi memberi peluang kepada bakal-bakal pendidik ini untuk terus membina softskills yang pelbagai, dan bukan hanya tertumpu atau terkurung di bilik-bilik kuliah semata-mata. Kurangnya pengamalan nilai-nilai kasih sayang dan prihatin terhadap masyarakat, membuatkan mahasiswa dan mahasiswi kini terlalu sombong dan sibuk  mengejar ranking dalam peperiksaan tanpa berfikir untuk membantu dan turut serta menyelesaikan permasalahan masyarakat sekitar.

Ketiga; Perlunya kepada sesi-sesi diskusi dan wacana yang digerakkan oleh JPP untuk membincangkan hala tuju dan prestasi pendidikan negara secara pragmatik. Sejak beberapa tahun ini, harapan saya adalah untuk melihat bakal-bakal guru ini berdiskusi dan berhujah secara matang dalam mendepani cabaran pendidikan alaf-21 ini. Saya cukup terkesan dengan laporan terbaru mengatakan masih ada bakal-bakal guru ini yang masih gagal dalam temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) disebabkan oleh beberapa faktor yang dominan, dan antaranya ialah LEMAH pengetahuan am. Di samping itu, dasar-dasar pendidikan negara juga tidak dapat dihujahkan secara jitu dan mahasiswa pendidik guru dilihat masih terkial-kial untuk berbicara masalah pendidikan.

 Contoh termudah, tanyalah kepada diri sendiri, sejauh mana kita faham tentang apa itu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) ini. Tidak mustahil masih ramai yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dan tanyalah kepada diri sendiri, apakah kita masih bersenang lenang dengan laporan prestasi antarabangsa PISA dan TIMMS yang meletakkan negara kita antara negara di kedudukan tiga terkebawah dan tercorot. Justeru, hal-hal yang penting sebegini perlu dipandang serius oleh pimpinan akan datang dan langkah-langkah untuk mengadakan wacana dan diskusi tentang pendidikan negara kita perlu disegarkan semula. Saya pun tidak pasti kenapa sejak akhir-akhir ini terlalu banyak hal yang dipandang mudah, adakah penuntut IPG masih rasa senang hati dan bermimpi berada di zon selamat??

Keempat; Harapan saya kepada pimpinan JPP yang akan datang supaya menggiatkan semula kolaborasi dan merintis jalan kerjasama antara Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di seluruh institusi pendidikan tinggi seluruh negara. Saya ingin melihat JPP IPG ini dapat bergerak dan mencari permuafakatan dengan pimpinan mahasiswa universiti seluruh negara secara dinamik. Jujurnya, saya merasakan JPP ini cukup terasing dan terkebelakang dalam hal-hal seperti ini. Inilah masanya dan ketikanya pimpinan IPG berganding bahu dengan MPP seluruh negara bagi menggerakkan semula semangat dan hala tuju mahasiswa dan mahasiswi. Dengan adanya tolerasi dan program-program rintis ini, saya amat yakin dan percaya bahawa kemahiran dan idealisme di pelbagai gedung ilmu ini dapat disebarkan dan ditambahbaik dari semasa ke semasa. 2014 bukanlah masanya kita masih di dalam tempurung lama, malah kita perlu melonjak ke hadapan agar dapat dilihat dan dihargai.

Sayalah orang yang pertama akan bertepuk gembira jika keempat-empat harapan dan impian utama saya ini dapat direalisasikan dan dizahirkan. Saya amat memahami bukanlah mudah untuk memenuhi hasrat ini, tetapi kita tidak akan mengetahui keupayaan kita sendiri sehingga kita mencuba dan mengorak langkah sendiri. Saya tidak akan sentuh pemasalahan-permasalahan yang lain, kerana semuanya telah disuarakan oleh calon-calon yang bertanding. Harapan dan hasrat serta doa saya kepada calon-calon, agar dipermudahkan dan diberi ketenangan dalam apa jua usaha dan pengorbanan yang dilakukan. Saya bermohon kehadrat Ilahi agar anda semua dikurniakan taufik dan hidayah daripada Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang agar kita semua berada dalam lindungan limpah rahmat, berkat, hidayah dan inayah-Nya jua.

Selamat berkempen dan Selamat membuang undi.

Ahmad Syafiq Amir bin Abdullah Zawawi

Pelajar Tahun Ketiga, Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Pahang.

12 Januari 2013

2014, Anak Murid dan Mahasiswa

murid

  Hari ini, bermulalah fasa baharu dalam dimensi kehidupan anak-anak yang baru menjejakkan kaki bergelar ‘Anak Murid’. Memasuki alam persekolahan tentunya suatu yang mencabar diri dan kebiasaan mereka. Anak-anak yang lahir dalam keadaan fitrah- suci bersih akal dan jiwa mereka; dihantar ke sekolah dengan harapan agar citra diri dan budi mereka diwarnai sebaiknya dan setulusnya. Anak-anak dihantar ke sekolah dengan harapan yang besar agar dididik untuk menjadi manusia. Maka, peranan sang pendidik pula ialah untuk memanusiakan manusia. Sesungguhnya benarlah kata-kata Ybhg Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dalam ucapan beliau semasa Konvensyen Teach For The Needs (TFTN) kali ke-2 pada 21 Disember 2013 yang lalu bahawa klausa “Anak Didik” sememangnya tidak dapat dan tidak perlu dipisahkan. Betapa peranan sang pendidik amat dekat di hati mereka, yang dianggap sebagai “anak” dan dalam masa yang sama mereka juga perlu “dididik” untuk menjadi manusia, dan bukannya robot.

 Sesuatu yang membuatkan saya terimbau kembali kisah lama saya, pada tahun 1999 yang lalu, di suatu desa terpencil, saya dihantar oleh ibu bapa saya untuk memulakan Tahun Satu di sebuah sekolah kampung biasa.  Malangnya, hari pertama saya berada di Tahun Satu itu, kami telah disuruh untuk mengambil satu ujian khas. Ujian yang dikendalikan oleh guru-guru di sekolah tersebut bertujuan untuk menyusun murid-murid, iaitu murid di kelas hadapan dan murid-murid di kelas belakang. Masih lagi terbayang dalam kenangan saya, murid-murid yang tulisannya cantik, dapat membaca, dapat menulis dan dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan akan ditempatkan di kelas-kelas yang baik. Sedangkan murid-murid yang tulisannya seperti cakar ayam, tidak tahu membaca, tidak pandai pun menulis serta yang tidak dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan, semestinya akan ditempatkan di kelas-kelas hujung, atau kelas-kelas corot!

 Hari ini saya tertawa kecil mengenang kisah tersebut, dikala melihat gelagat-gelacat comel anak-anak yang baru memulakan persekolahan pada hari ini. Agak mengecewakan juga apabila pada hari pertama saya bersekolah, kami telah diajar untuk bersaing sesama sendiri, dengan harapan akan mndapat kelas yang baik dan bukannya diajar untuk bersahabat. Benar, di dalam kelas, kami diajar bersaing dengan rakan-rakan yang lain. Bersaing untuk menjadi yang terbaik, itulah fitrah anak-anak seawall umur saya ketika itu. Bila masanya untuk bersahabat? Bersahabat hanya pada waktu rehat, waktu berjalan ke kantin sekolah untuk membeli makanan mengisi perut yang lapar dan sewaktu bermain pada waktu lapang. Masa yang selebihnya akan digunakan untuk bersaing sesama sendiri di dalam kelas atas kayu ukur intelek!

 Sengaja saya bawakan kisah saya di awal penulisan ini untuk kita sama-sama melihat keadaannya pada masa sekarang. Walaupun ujian-ujian yang telah saya sebutkan mungkin tiada lagi pada hari ini, tetapi seolah-olah tempiasnya masih lagi wujud. Anak-anak hari ini dibezakan dengan taraf intelek dan keupayaan mereka menjawab soalan-soalan guru. Anak-anak hari ini dibezakan dengan kedudukan kelas – Kelas depan akan disangka kelas terbaik dan kelas belakang disangka kelas yang tidak baik dan hanya untuk pelajar-pelajar lemah. Persepsi dan hakikat ini telah ditanam dalam diri anak-anak sejak sekian lamanya, tanpa mempedulikan perasaan mereka. Anak-anak lemah, tidak tahu membaca, tidak pandai mengira, akan diletakkan di kelas hujung. Guru-guru juga disusun dengan sebaiknya untuk ditugaskan mengajar di kelas-kelas pilihan sekolah. Apakah ini sebenarnya pendidikan? Adakah ini sebenarnya ilmu? Adakah kita memahami dan pernah terfikir, apakah perasaannya dilihat sebagai pelajar corot yang lemah di kelas belakang? Moganya situasi ini tidak lagi berlaku di zaman kita semua sedar apa tujuan pendidikan yang sebenarnya, iaitu untuk mmanusiakan manusia.

Harapan Untuk  Anak-anak

Hari pertama anak-anak ke sekolah pastinya sarat dengan sejuta satu cerita untuk dikongsi. Tidak cukup dengan cerita yang menggembirakan, pastinya trending di laman-laman sosial juga dipenuhi dengan kisah anak-anak di sekolah. Anak-anak daripada kalangan pelbagai latar belakang sosio-ekonomi ke sekolah mencari ilmu dan mencari erti sebuah kehidupan. Saya tersentuh dengan ceritera rakan-rakan berkenaan anak-anak daripada kalangan warga Orang Kelainan Upaya (OKU) yang masih bersemangat ke sekolah. Sebagai seorang bakal pendidik, saya juga teruja dan gembira sekali melihat reaksi mereka. Begitu juga anak-anak yang berkeperluan khas, anak-anak daripada kalangan autisme, slow learner, malah anak-anak yang mempunyai sindrom down pun masih bersemangat untuk tahun baharu persekolahan mereka.

 Mereka tidak wajar disisihkan. Mereka tidak wajar didiskriminasi. Mereka juga tidak wajar dianggap bodoh atau kurang cerdik. Tidak adil bagi mereka untuk disisihkan dalam dunia pendidikan. Anak-anak daripada kelas corot yang masih tidak tahu membaca dan menulis juga tidak wajar diherdik dengan kata-kata nista. Anak-anak yang hodoh tulisannya tidak wajar dipukul tangan-tangan mereka semata-mata untuk mencantikkan tulisan pada buku-buku tulis garis tiga. Sebaliknya, anggaplah mereka juga manusia yang datang sebagai anak-anak kita. Anak-anak yang perlu diberi perhatian dan kasih sayang dengan sejuta kata-kata perangsang, penambah semangat dan tarikan untuk belajar.

 Dalam hati kecil ini, saya masih mengharapkan anak-anak ini dihargai seadanya dan setulusnya serta dianggap sebagai setaraf dengan anak-anak yang lain di kelas-kelas yang dianggap baik. Janganlah kita menghukum mereka dengan segala ketidakupayaan mereka untuk menjawab soalan-soalan di dalam kelas. Janganlah sesekali menganggap kehadiran mereka akan menjatuhkan kedudukan dan ‘ranking’ sekolah. Mereka harus dididik dan diajar untuk saling memahami, mempercayai dan mencintai antara satu sama lain, dan bukannya diajar untuk bersaing siapa terpandai di dalam kelas. Persaingan bukan matlamat pendidikan. Persaingan hanya akan menghasilkan anak-anak yang mementingkan diri, angkuh, sombong dan tidak ambil peduli dengan nasib rakan-rakan yang lain yang masih lemah. Sang pendidik perlu memberi nafas baharu untuk anak-anak, supaya mereka sentiasa mahu ke sekolah dan bukannya dipaksa ke sekolah oleh ibu bapa setiap hari. Hargai dan jadilah pendengar yang setia untuk anak-anak ini, dan anggaplah mereka sebagai kawan bukannya lawan.

Harapan Untuk  Mahasiswa dan Bakal Pendidik

Saya teruja luar biasa kerana ‘trend’ mahasiswa kini telah mula berubah untuk ambil peduli tentang kisah-kisah pendidikan. Mahasiswa yang cakna pendidikan ini telah mula bangkit dan menyatakan idea-idea dan usaha untuk membantu sistem pendidikan yang dianggap semakin tenat. Syabas dan tahniah buat mahasiswa seluruh negara yang telah bangkit setelah lama ‘lena’ sebelum lena yang sebenarnya. Sesungguhnya perhatian setiap mahasiswa ini perlu dipuji dan dihargai. Tidak ramai yang sudi menghulurkan tangan di kala anak-anak kita masih tidak tahu membaca dan menulis, walaupun telah berada di Tahun Enam!

Buat mahasiswa dan bakal guru yang masih lena, bangunlah dan marilah kita turun ke lapangan melihat anak-anak miskin, anak-anak yatim, gelandangan dan  anak-anak kurang upaya mahupun anak-anak yang masih tidak tahu nasib mereka di bumi mereka sendiri. Hulurkanlah bantuan dalam apa bidang sekalipun, nescaya tangan-tangan yang menghulur bantuan itu akan dikenang dan dihargai. Sekarang bukanlah masa untuk mahasiswa mahupun bakal pendidik bicara soal Cinta Monyet, mahupun forum-forum cinta serta mencari ‘Bakal Imam’ dan ‘Bakal Makmum’, nikah awal, tetapi sebaliknya masa ini perlu digunakan oleh semua untuk merenung apakah sumbangan kepada masyarakat dan golongan-golongan marjinal yang tidak bernasib baik. Rugilah mahasiswa yang bersikap sombong, menganggap tugas mahasiswa hanya sekadar mengulang baca nota-nota kuliah dan menjaga pointer dalam peperiksaan, tetapi nasib anak-anak merempat tidak dipedulikan!

 Buat bakal guru, inilah masanya yang terbaik untuk menggunakan ilmu pedagogi yang diperoleh semasa kuliah untuk turun dan sama-sama membantu mencari konklusi kepada kemelut yang semakin membimbangkan ini. Bakal-bakal guru mesti dan perlu lebih aktif untuk membincangkan hala tuju dan masa depan pendidikan negara, serta laporan-laporan prestasi pendidikan negara secara lebih serius. Sedarlah! Adakah kita hanya guru apabila menerima surat lantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan kementerian semata-mata? Bakal-bakal guru masih lagi bicara picisan, tetapi tidak mahu dan tidak ambil peduli maslahat umat yang entah kemana ini.

Bercintalah!

2014 perlu dimulai dengan semangat baharu untuk membawa perubahan dalam dimensi citra anak-anak dan sang pendidik serta masyarakat keseluruhannya. Terapkanlah cinta dalam pendidikan. Sematlah cinta sesama rakan-rakan persekolahan anak-anak. Bantulah mereka untuk bercinta dan bukannya bermusuh dan membenci. Dengan cinta, akan lahirlah harapan dan impian baharu anak-anak. Sang pendidik, murabbi, muaddib dan muallim atau sejuta macam gelaran lagi yang dituju kepada GURU, tanamlah semangat sesama kita untuk lebih memahami dan menghargai mereka yang ada di sekeliling kita. Bercintalah, semoga kita menemui jalan yang lebih baik. Selamat menyambut Tahun Baharu 2014!

Catatan Tahun Baharu,

Ahmad Syafiq Amir, Pelajar Tahun Ketiga,

Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Sukarelawan Teach For The Needs (TFTN).

Pengakap! Buat Habis Baik !!

Anekdot: Pada 30 September hingga 03 Oktober 2013, saya dan rakan-rakan PISMP Semester 4 (Ambilan Jan 2012) telah melaksanakan Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform. Bertempat di Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. Unit Pengakap – Kumpulan Latihan Malaysia (KLM) 34 yang terdiri daripada 63 orang ahli telah bersama-sama 244 ahli yang lain dalam menjayakan perkhemahan pada kali ini. Terdapat pelbagai perkara yang berlaku sepanjang empat hari tersebut, dan tidaklah saya ingin sentuh satu persatu di sini. Tetapi, dalam banyak keadaan, saya ingin berpesan kepada semua, jauhilah sifat dengki, iri hati, mahupun perangai mulut-mulut ‘longkang’. Sentiasalah jaga dan awasi setiap perkataan yang dilontarkan. Sememangnya banyak perkara yang boleh dihujahkan, tetapi dalam keterbatasan waktu, cukuplah sekadar ingat mengingati. Bukan semua perkara orang lain akan bersetuju dengan saya, dan sebaliknya bukan semua perkara yang saya bersetuju dengan orang lain. Akan tetapi, sebagai manusia, jagalah tutur kata dan tingkah laku, waimma sebaik manapun atau sealim manapun si pelaku, dosa dikira dosa.

Peluang dan ruang menulis di sini, saya titipkan khas buat semua rakan Pengakap KLM34 Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan atas segala penat lelah, kerjasama, dan toleransi sepanjang perkhemahan ini berlangsung. Terima kasih kepada semua Jawatankuasa Pengakap yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang beberapa bulan ini bagi memastikan perkhemahan ini berlangsung dengan sempurna. Tahniah kepada Ong Sheng Zun dan Yap Ching Ying serta Jawatankuasa Perkhemahan Pengakap dan semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program ini.

 Bersedia untuk menghadiri World Jota Joti dan Perkhemahan Kepimpinan Manik Kayu selepas Hari Raya Aidil Adha nanti. Semoga semuanya dipermudahkan oleh Allah..

Pengakap !! Buat Habis Baik. 

 

pengakap

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA