2014, Anak Murid dan Mahasiswa

murid

  Hari ini, bermulalah fasa baharu dalam dimensi kehidupan anak-anak yang baru menjejakkan kaki bergelar ‘Anak Murid’. Memasuki alam persekolahan tentunya suatu yang mencabar diri dan kebiasaan mereka. Anak-anak yang lahir dalam keadaan fitrah- suci bersih akal dan jiwa mereka; dihantar ke sekolah dengan harapan agar citra diri dan budi mereka diwarnai sebaiknya dan setulusnya. Anak-anak dihantar ke sekolah dengan harapan yang besar agar dididik untuk menjadi manusia. Maka, peranan sang pendidik pula ialah untuk memanusiakan manusia. Sesungguhnya benarlah kata-kata Ybhg Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dalam ucapan beliau semasa Konvensyen Teach For The Needs (TFTN) kali ke-2 pada 21 Disember 2013 yang lalu bahawa klausa “Anak Didik” sememangnya tidak dapat dan tidak perlu dipisahkan. Betapa peranan sang pendidik amat dekat di hati mereka, yang dianggap sebagai “anak” dan dalam masa yang sama mereka juga perlu “dididik” untuk menjadi manusia, dan bukannya robot.

 Sesuatu yang membuatkan saya terimbau kembali kisah lama saya, pada tahun 1999 yang lalu, di suatu desa terpencil, saya dihantar oleh ibu bapa saya untuk memulakan Tahun Satu di sebuah sekolah kampung biasa.  Malangnya, hari pertama saya berada di Tahun Satu itu, kami telah disuruh untuk mengambil satu ujian khas. Ujian yang dikendalikan oleh guru-guru di sekolah tersebut bertujuan untuk menyusun murid-murid, iaitu murid di kelas hadapan dan murid-murid di kelas belakang. Masih lagi terbayang dalam kenangan saya, murid-murid yang tulisannya cantik, dapat membaca, dapat menulis dan dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan akan ditempatkan di kelas-kelas yang baik. Sedangkan murid-murid yang tulisannya seperti cakar ayam, tidak tahu membaca, tidak pandai pun menulis serta yang tidak dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan, semestinya akan ditempatkan di kelas-kelas hujung, atau kelas-kelas corot!

 Hari ini saya tertawa kecil mengenang kisah tersebut, dikala melihat gelagat-gelacat comel anak-anak yang baru memulakan persekolahan pada hari ini. Agak mengecewakan juga apabila pada hari pertama saya bersekolah, kami telah diajar untuk bersaing sesama sendiri, dengan harapan akan mndapat kelas yang baik dan bukannya diajar untuk bersahabat. Benar, di dalam kelas, kami diajar bersaing dengan rakan-rakan yang lain. Bersaing untuk menjadi yang terbaik, itulah fitrah anak-anak seawall umur saya ketika itu. Bila masanya untuk bersahabat? Bersahabat hanya pada waktu rehat, waktu berjalan ke kantin sekolah untuk membeli makanan mengisi perut yang lapar dan sewaktu bermain pada waktu lapang. Masa yang selebihnya akan digunakan untuk bersaing sesama sendiri di dalam kelas atas kayu ukur intelek!

 Sengaja saya bawakan kisah saya di awal penulisan ini untuk kita sama-sama melihat keadaannya pada masa sekarang. Walaupun ujian-ujian yang telah saya sebutkan mungkin tiada lagi pada hari ini, tetapi seolah-olah tempiasnya masih lagi wujud. Anak-anak hari ini dibezakan dengan taraf intelek dan keupayaan mereka menjawab soalan-soalan guru. Anak-anak hari ini dibezakan dengan kedudukan kelas – Kelas depan akan disangka kelas terbaik dan kelas belakang disangka kelas yang tidak baik dan hanya untuk pelajar-pelajar lemah. Persepsi dan hakikat ini telah ditanam dalam diri anak-anak sejak sekian lamanya, tanpa mempedulikan perasaan mereka. Anak-anak lemah, tidak tahu membaca, tidak pandai mengira, akan diletakkan di kelas hujung. Guru-guru juga disusun dengan sebaiknya untuk ditugaskan mengajar di kelas-kelas pilihan sekolah. Apakah ini sebenarnya pendidikan? Adakah ini sebenarnya ilmu? Adakah kita memahami dan pernah terfikir, apakah perasaannya dilihat sebagai pelajar corot yang lemah di kelas belakang? Moganya situasi ini tidak lagi berlaku di zaman kita semua sedar apa tujuan pendidikan yang sebenarnya, iaitu untuk mmanusiakan manusia.

Harapan Untuk  Anak-anak

Hari pertama anak-anak ke sekolah pastinya sarat dengan sejuta satu cerita untuk dikongsi. Tidak cukup dengan cerita yang menggembirakan, pastinya trending di laman-laman sosial juga dipenuhi dengan kisah anak-anak di sekolah. Anak-anak daripada kalangan pelbagai latar belakang sosio-ekonomi ke sekolah mencari ilmu dan mencari erti sebuah kehidupan. Saya tersentuh dengan ceritera rakan-rakan berkenaan anak-anak daripada kalangan warga Orang Kelainan Upaya (OKU) yang masih bersemangat ke sekolah. Sebagai seorang bakal pendidik, saya juga teruja dan gembira sekali melihat reaksi mereka. Begitu juga anak-anak yang berkeperluan khas, anak-anak daripada kalangan autisme, slow learner, malah anak-anak yang mempunyai sindrom down pun masih bersemangat untuk tahun baharu persekolahan mereka.

 Mereka tidak wajar disisihkan. Mereka tidak wajar didiskriminasi. Mereka juga tidak wajar dianggap bodoh atau kurang cerdik. Tidak adil bagi mereka untuk disisihkan dalam dunia pendidikan. Anak-anak daripada kelas corot yang masih tidak tahu membaca dan menulis juga tidak wajar diherdik dengan kata-kata nista. Anak-anak yang hodoh tulisannya tidak wajar dipukul tangan-tangan mereka semata-mata untuk mencantikkan tulisan pada buku-buku tulis garis tiga. Sebaliknya, anggaplah mereka juga manusia yang datang sebagai anak-anak kita. Anak-anak yang perlu diberi perhatian dan kasih sayang dengan sejuta kata-kata perangsang, penambah semangat dan tarikan untuk belajar.

 Dalam hati kecil ini, saya masih mengharapkan anak-anak ini dihargai seadanya dan setulusnya serta dianggap sebagai setaraf dengan anak-anak yang lain di kelas-kelas yang dianggap baik. Janganlah kita menghukum mereka dengan segala ketidakupayaan mereka untuk menjawab soalan-soalan di dalam kelas. Janganlah sesekali menganggap kehadiran mereka akan menjatuhkan kedudukan dan ‘ranking’ sekolah. Mereka harus dididik dan diajar untuk saling memahami, mempercayai dan mencintai antara satu sama lain, dan bukannya diajar untuk bersaing siapa terpandai di dalam kelas. Persaingan bukan matlamat pendidikan. Persaingan hanya akan menghasilkan anak-anak yang mementingkan diri, angkuh, sombong dan tidak ambil peduli dengan nasib rakan-rakan yang lain yang masih lemah. Sang pendidik perlu memberi nafas baharu untuk anak-anak, supaya mereka sentiasa mahu ke sekolah dan bukannya dipaksa ke sekolah oleh ibu bapa setiap hari. Hargai dan jadilah pendengar yang setia untuk anak-anak ini, dan anggaplah mereka sebagai kawan bukannya lawan.

Harapan Untuk  Mahasiswa dan Bakal Pendidik

Saya teruja luar biasa kerana ‘trend’ mahasiswa kini telah mula berubah untuk ambil peduli tentang kisah-kisah pendidikan. Mahasiswa yang cakna pendidikan ini telah mula bangkit dan menyatakan idea-idea dan usaha untuk membantu sistem pendidikan yang dianggap semakin tenat. Syabas dan tahniah buat mahasiswa seluruh negara yang telah bangkit setelah lama ‘lena’ sebelum lena yang sebenarnya. Sesungguhnya perhatian setiap mahasiswa ini perlu dipuji dan dihargai. Tidak ramai yang sudi menghulurkan tangan di kala anak-anak kita masih tidak tahu membaca dan menulis, walaupun telah berada di Tahun Enam!

Buat mahasiswa dan bakal guru yang masih lena, bangunlah dan marilah kita turun ke lapangan melihat anak-anak miskin, anak-anak yatim, gelandangan dan  anak-anak kurang upaya mahupun anak-anak yang masih tidak tahu nasib mereka di bumi mereka sendiri. Hulurkanlah bantuan dalam apa bidang sekalipun, nescaya tangan-tangan yang menghulur bantuan itu akan dikenang dan dihargai. Sekarang bukanlah masa untuk mahasiswa mahupun bakal pendidik bicara soal Cinta Monyet, mahupun forum-forum cinta serta mencari ‘Bakal Imam’ dan ‘Bakal Makmum’, nikah awal, tetapi sebaliknya masa ini perlu digunakan oleh semua untuk merenung apakah sumbangan kepada masyarakat dan golongan-golongan marjinal yang tidak bernasib baik. Rugilah mahasiswa yang bersikap sombong, menganggap tugas mahasiswa hanya sekadar mengulang baca nota-nota kuliah dan menjaga pointer dalam peperiksaan, tetapi nasib anak-anak merempat tidak dipedulikan!

 Buat bakal guru, inilah masanya yang terbaik untuk menggunakan ilmu pedagogi yang diperoleh semasa kuliah untuk turun dan sama-sama membantu mencari konklusi kepada kemelut yang semakin membimbangkan ini. Bakal-bakal guru mesti dan perlu lebih aktif untuk membincangkan hala tuju dan masa depan pendidikan negara, serta laporan-laporan prestasi pendidikan negara secara lebih serius. Sedarlah! Adakah kita hanya guru apabila menerima surat lantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan kementerian semata-mata? Bakal-bakal guru masih lagi bicara picisan, tetapi tidak mahu dan tidak ambil peduli maslahat umat yang entah kemana ini.

Bercintalah!

2014 perlu dimulai dengan semangat baharu untuk membawa perubahan dalam dimensi citra anak-anak dan sang pendidik serta masyarakat keseluruhannya. Terapkanlah cinta dalam pendidikan. Sematlah cinta sesama rakan-rakan persekolahan anak-anak. Bantulah mereka untuk bercinta dan bukannya bermusuh dan membenci. Dengan cinta, akan lahirlah harapan dan impian baharu anak-anak. Sang pendidik, murabbi, muaddib dan muallim atau sejuta macam gelaran lagi yang dituju kepada GURU, tanamlah semangat sesama kita untuk lebih memahami dan menghargai mereka yang ada di sekeliling kita. Bercintalah, semoga kita menemui jalan yang lebih baik. Selamat menyambut Tahun Baharu 2014!

Catatan Tahun Baharu,

Ahmad Syafiq Amir, Pelajar Tahun Ketiga,

Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Sukarelawan Teach For The Needs (TFTN).

Advertisements

Pengakap! Buat Habis Baik !!

Anekdot: Pada 30 September hingga 03 Oktober 2013, saya dan rakan-rakan PISMP Semester 4 (Ambilan Jan 2012) telah melaksanakan Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform. Bertempat di Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. Unit Pengakap – Kumpulan Latihan Malaysia (KLM) 34 yang terdiri daripada 63 orang ahli telah bersama-sama 244 ahli yang lain dalam menjayakan perkhemahan pada kali ini. Terdapat pelbagai perkara yang berlaku sepanjang empat hari tersebut, dan tidaklah saya ingin sentuh satu persatu di sini. Tetapi, dalam banyak keadaan, saya ingin berpesan kepada semua, jauhilah sifat dengki, iri hati, mahupun perangai mulut-mulut ‘longkang’. Sentiasalah jaga dan awasi setiap perkataan yang dilontarkan. Sememangnya banyak perkara yang boleh dihujahkan, tetapi dalam keterbatasan waktu, cukuplah sekadar ingat mengingati. Bukan semua perkara orang lain akan bersetuju dengan saya, dan sebaliknya bukan semua perkara yang saya bersetuju dengan orang lain. Akan tetapi, sebagai manusia, jagalah tutur kata dan tingkah laku, waimma sebaik manapun atau sealim manapun si pelaku, dosa dikira dosa.

Peluang dan ruang menulis di sini, saya titipkan khas buat semua rakan Pengakap KLM34 Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan atas segala penat lelah, kerjasama, dan toleransi sepanjang perkhemahan ini berlangsung. Terima kasih kepada semua Jawatankuasa Pengakap yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang beberapa bulan ini bagi memastikan perkhemahan ini berlangsung dengan sempurna. Tahniah kepada Ong Sheng Zun dan Yap Ching Ying serta Jawatankuasa Perkhemahan Pengakap dan semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program ini.

 Bersedia untuk menghadiri World Jota Joti dan Perkhemahan Kepimpinan Manik Kayu selepas Hari Raya Aidil Adha nanti. Semoga semuanya dipermudahkan oleh Allah..

Pengakap !! Buat Habis Baik. 

 

pengakap

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

 

Anugerah Pelajar Cemerlang 2013

07 September 2013: Anekdot – Saya hadir dalam majlis makan malam sempena Anugerah Pelajar Cemerlang 2013 di Dewan Darul Makmur, IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan. Alhamdulillah, saya memanjatkan syukur yang tidak terhingga atas segala nikmat dan rezeki ini. Ini adalah kali ketiga saya menerima anugerah Pelajar Cemerlang (APC) sejak tiga semester berada dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Perguruan – Pengajian Melayu. Anugerah ini saya dedikasikan khas buat Ma dan Abah yang berada di rumah, buat tutor tersayang, Encik Mohd Nor bin Mohamed, kepada semua pensyarah akademik yang sentiasa membantu dan mencurahkan ilmu, kepada semua sahabat dan kepada semua kenalan yang sentiasa memberikan semangat sepanjang perjuangan ini. Insya-Allah kejayaan ini akan saya teruskan. Doa saya titipkan buat sahabat-sahabat supaya terus istiqamah dalam pengajian. Wasalam.

APC 2013

Foto: Penerima-penerima Anugerah Pelajar Cemerlang bagi Jabatan Pengajian Melayu 2013

anugerah

Keluarga Jengka 17: Seri Pagi

Tiga hari hamba berada di Felda Seri Pagi Jengka 17, Program Bina Insan Guru Fasa-4 (Program Anak Angkat). Hidup bersama warga di sana, walaupun secebis rasa sesingkat masa, tetapi ibrah yang diterima cukup luas dan maha kaya. Membina jiwa yang molek tulus itu berliku. Senang mereka, susah mereka, hidup mereka, keringat mereka yang mengalir bagai dirasa dalam jiwa yg gersang ini.. Betapa hidup ini sangat menguji kehidupan insan.. Mereka jua mengajar kami apa erti hidup. Setulusnya, sekudusnya, sesucinya. Bersaksilah bahawa hidup ini ‘sekolah’ insan yang maha mendidik.. Terima kasih atas tinta kata sepanjang pertemuan singkat ini. Semoga bersua di lain masa.

Keluarga

Dari kiri Unieyez Fieydlizt, Mak Teh, Abah Razali dan hamba. Terima kasih Kito Nasrul tlg ambil gambar.. Insya-Allah anakanda berdua tidak lupa pesanan abah dan mak.

Anehnya Ranjau Kehidupan: Sebuah Catatan Peribadi

Saya teringat kepada kata-kata Aristotle ketika melangkah untuk ke sekolah hari ini. Kata beliau yang tersohor:

“The roots of educations are bitter, but the fruit is sweet”.

Sungguh dalam maksudnya dan hanya orang-orang yang benar-benar menghargai pentingnya ilmu dan pendidikan akan merasai denyut nadi semantik kepada makna yang maha tersirat ini. Begitulah hidup yang luas ini, sepahit-pahit ubat, masih lagi mujarab untuk menyembuhkan penyakit. Orang yang tidak cinta kepada ilmu, dalam dinyanya mungkin telah ‘dijangkiti’ wabak, sehingga perlu diberi ‘ubat’ mahupun ‘penawar’ yang sesuai dengan cita rasa hidup mereka. Manusia selalu membenci perkara yang buruk, (dalam hal ini rasa pahit), walaupun mereka mengetahui pahit itu dapat menyembuhkan !

Hari ini, 22 Ogos 2013 hari terakhir saya dalam melaksanakan Pengalaman Berasaskan Sekolah (School Based Assessment – SBE). PBS kali ini merupakan fasa ke-4, (fasa terakhir) dalam sub Amalan Profesionalisme Keguruan. Semua sudah mengetahui bahawa amalan-amalan ini merupakan kewajipan kepada saya khususnya, dalam memantapkan elemen nilai dan ‘jiwa’ setelah bertapak dan melangkah dalam dunia pendidikan ini. Justeru, dalam catatan serba hina ini, saya merasakan perlu diimbas kembali kisah-kisah dan beberapa perkara yang telah saya lalui bermula PBS Fasa 1 sehingga tamatnya PBS Fasa 4 pada hari ini. Sekadar catatan peribadi daripada saya yang serba hina.

Masih bermain di hati saya, suara anak-anak ini memanggil saya saban hari. Tanpa jemu. Tanpa penat. Tanpa bosan. Memanggil dan terus sahaja dipanggil “Cikgu !!” berulang-ulang kali. Mereka masih di tahun 4 ketika itu.(Kini Tahun 5). Masih juga saya ingat, Adam, seorang murid yang aktif, tetapi dikatakan kaki buli. Membuli siapa sahaja yang tidak dapat memuaskan hatinya. Tetapi, dalam nakalnya, ada sejuta kebaikan yang jauh mengangkat dirinya lain daripada rakan-rakannya yang lain. Tidak pasti kenapa, saya merasakan sangat rapat dengannya. Setiap kali, setiap hari, dia akan memanggil saya berulang-ulang kali. Waimma semasa saya pulang dari sekolah pun, dia masih menunggu di pintu utama, tanda ucapan ‘selamat tinggal’ kepada saya. Saya takjub dengan sikapnya. Senang sekali saya melihatnya begitu. Melucukan, bila dia berjanji kepada saya, bahawa akan ‘belanja’ saya makan ‘ice cream’ jika kami berjumpa di luar. Saya masih menunggu janjinya. Semoga dia juga mengingati. =)

sem1

Kerap kali juga saya bertanyakan dirinya hal keluarga dan rakan-rakannya yang lain. Adam, anak tunggal dalam keluarga. Tiada abang, tiada kakak, tiada adik. Cara dan penghargaan dirinya kepada saya ketika itu sangat membuat saya tersentuh. Kadang-kanag saya ketawa dengan sikapnya (nakal di hadapan rakannya, tetapi baik pula di hadapan saya). Adam, pada saya tersangat istimewa. Adam, memerlukan lebih bimbingan, perlu diberi kasih yang secukupnya, perlu diberi penghargaan yang sekudusnya. Dia mampu berada di hadapan, jika sentiasa dibimbing. Sikapnya yang agak panas baran, sudah terbiasa dengan fitrah kanak-kanak lelaki yang lain. Tetapi, dirinya dapat dibentuk. Perwatakannya dapat diasuh dengan acuan yang betul. Masih saya ingat, hari terakhir saya di sekolah tersebut (Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, Pasir Mas), dia seakan tidak mahu lagi bercakap dengan saya seperti biasa. Mungkin terlalu kecewa sebab kami akan meninggalkannya di sana. Doa saya sentiasa dititip kepadanya agar menjadi anak yang soleh. Semoga saya dapat bertemu dengannya suatu masa nanti.

Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, bergred A dan tergolong dalam sekolah Luar Bandar. Merupakan sekolah terbaik dalam Daerah Pasir Mas setiap tahun. Khabarnya telah disenarai dalam sekolah yang akan menerima status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam negeri Kelantan. Dua fasa Pengalaman Berasaskan Sekolah telah saya jalankan di sekolah ini. Masih juga ‘bermain’ dalam kotak fikiran saya, tugasan pertama kami semasa kali pertama ialah membuat pemerhatian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran guru KSSR. Saya maklum bahawa diri saya yang kerdil ini, semestinya tidak layak untuk menilai guru-guru di sekolah. Apatah lagi memberikan komen terhadap nilai pengajaran guru. Mereka juga guru-guru saya. Amat ‘kurang ajar’ jika saya datang ke sekolah untuk ‘observe’ mereka yang berpengalaman luas. Tetapi, apabila dimaklumkan kepada guru-guru Bahasa Malaysia bahawa saya akan melihat proses P&P, muka mereka seakan pucat. Seakan bala menanti di hadapan mereka. Mereka hanya bersetuju. Tetapi meminta sedikit masa untuk membuat persiapan. Saya turuti permintaan mereka. Kerana saya hanya ‘budak hingusan’ dalam dunia pendidikan ini.

Dua orang guru telah saya lihat proses P&P mereka di dalam kelas. Ada yang baik, ada yang kurang. Kekurangan adalah sifat manusia. Seperti juga saya yang seba daif lagi hina. Tetapi, apa yang menarik perhatian saya, saya dilayan seperti ‘tetamu’ pada waktu itu. Tanpa diminta, mereka membuat persiapan yang sangat menarik untuk sesi pengajaran mereka. Tanpa diminta juga, mereka menunjukkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) mereka kepada saya. [Seolah-olah seorang guru pelatih yang sedang di-‘observe’ oleh pensyarah]. Saya segan sekali waktu itu. Tidak layak saya menerima layanan seperti ini. Saya senang sekali dengan sikap keterbukaan mereka. Sesi P&P dijalankan dan saya memerhati dari jauh sambil merakam slot tersebut. Apabila tamatnya sesi pengajaran, mereka datang berjumpa saya dan meminta nasihat dan tunjuk ajar agar pengajaran mereka dapat ditingkat dan ditambah baik. Aduh !! Apakan daya saya hanya seorang budak hingusan yang baru bertatih, tidak pandai berlari mahupun melompat !! Itu analogi yang mudah. kata mereka:

“Syafiq, boleh tak awak tolong bagi cadangan atau apa-apa komen pasal pengajaran saya tadi?”

Saya menjawab, “Cikgu, saya hanya budak baru. Tak layak saya hendak memberikan komen.” Saya bertambah malu dengan diri sendiri. Dan Cikgu tersebut menjawab, “Awak orang muda. Masih ‘fresh’. Awak belajar banyak. Mungkin ada apa-apa yang boleh diperbetulkan?” Ternyata sikap sebegini yang saya idamkan. Terbuka meminta kritikan dan nasihat tanpa mengira siapa ‘penasihat’ di hadapan kita. Saya terfikir, jika semua guru berpekerti mulia seperti ini, maka terdidik jiwa anak-anak watan. Mudah-mudahan Allah merahmati Cikgu.

P1010822

P1010751

Saya begitu senang dengan suasana sekolah ini. Senang sekali saya dengan guru-gurunya. Juga senang sekali dengan sikap ‘terbuka’ Guru Besarnya. Sama seperti guru, petadbirnya juga meminta nasihat dan kritikan terhadap suasana sekolah daripada kami ketika itu (semasa hari terakhir PBS) di sana. Melihat kepada ‘perangai’ mereka, saya yakin dan percaya, sekolah, pentadbir dan guru-guru ini akan cemerlang dan mempu mencemerlangkan orang lain. Mereka suka meminta pendapat. Suka meminta kritikan. Sangat berlainan daripada sesetengah manusia yang ‘alergik’ bila ditegur, ‘demam’ bila dikritik.

Sekolah Kebangsaan Bukit Lada – merupakan antara sekolah yang istimewa. Sebuah gedung ilmu luar bandar, jauh dari hiruk pikuk ranjau kota yang menggila. Terletak berhampiran dengan Felda Kampung Awah, Chenor, Pahang. Antara sekolah yang tergolong dalam kumpulan Sekolah Kurang Murid (SKM) kerana jumlah murid di sekolah ini hanyalah 100 orang dan lebih. Terdiri daripada anak-anak desa warga peneroka generasi ketiga. Sekolah ini juga banyak mengajar saya apa itu ‘guru’. Sangat asing bagi saya melangkah masuk ke sekolah ini yang jauh dari kebisingan kota.

Sekolah Kebangsaan Bukit Lada, walaupun berada di kawasan luar bandar, tetapi sangat unik dengan suasana dan iklimnya. Tidak terdapat di tempat lain. Antara keistimewaannya ialah Program Bacaan pagi, di mana murid-murid akan datang awal ke sekolah dan berkumpul di tapak perhimpunan (dalam kumpulan masing-masing) sambil membaca apa-apa bahan yang disediakan setiap hari. Guru-guru pula ditugaskan membimbing murid di dalam kumpulan. Sesi ini berterusan sehinggalah loceng pagi dibunyikan dan murid masuk ke kelas masing-masing.

20130320_074026

Budaya Penyayang yang ada di sekolah ini sangat luar biasa. Setiap hari, Guru Besar dan guru-guru yang lain datang awal ke sekolah dan menunggu / menyambut kehadiran murid-murid setiap pagi. ‘Luar Biasa’ yang saya maksudkan ialah apabila guru-gurunya sangat ramah melayan kerenah anak-anak yang hadir ke sekolah awal pagi. Mereka yang datang awal, akan diberi ‘Star’ dan dipakaikan di baju mereka, tanda mereka dihargai kerana awal datang ke sekolah. Ternyata budaya inilah yang ingin dipupuk. Bukan sahaja memupuk murid-murid supaya datang awal ke sekolah, bahkan mendisiplinkan guru-guru untuk menepati tugas dan masa. Luar Biasa juga apabila sering sahaja melihat kelibat Guru Besar datang lebih awal daripada guru-guru yang lain ! Belaiu seorang yang cemerlang. Anak-anak seharusnya dibelai dan sentiasa didorong dengan kata-kata lunak yang manis, supaya mereka mengerti, kasih sayang yang sebenar. Berhadapan dengan kerenah anak-anak di sini membuatkan saya sangat teruja. Teruja untuk hidup dalam suasana desa ini. Mereka daripada kelompok luar bandar. Tetapi keinginan mereka sangat menjulang tinggi untuk ke hadapan. Mereka cemerlang bagi saya. Budayanya, hidupnya, kelompoknya, suasananya, cukup bermakna dan perjalanan saya dan mereka masih jauh, menelusuri hidup yang tidak berkesudahan. Hanya dengan ilmu, jalan mereka ke hadapan akan terbuka dan mudah.

Berlainan pula kisahnya di Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun, Terengganu. Sekolah yang berada di bandar pesisir pantai ini cukup berlainan. Menjiwai setiap hati murid-murid di sini amatlah menyeronokkan. Anak-anak di sini terdiri daripada golongan nelayan, peniaga, penjawat awam dan bermacam-macam latar kehidupan. Melihat keadaan dan penghidupan di sini tersangatlah aman. Deruan ombak saban hari masih terdengar di telinga. Watak-watak yang pernah hadir dalam penghidupan saya selama seminggu di sana akan turut dikenang. Gelagat lincah anak-anak di sana cukup memeningkan kepala, tetapi jika dikenang, amatlah dirindui saat yang telah berlalu pergi meninggalkan memori dalam dada. Anak-anak di sana, walaupun sedikit nakal, tetapi ada keihlasan dalam diri mereka. Kanak-kanak, penghidupan mereka sememangnya lasak. Ibu bapa yang terlalu mengongkong anak-anak dan ‘terlalu sayang anak’ akan merasa kerugian yang maha besar suatu hari nanti. Anak-anak harus diajar dengan fizikal yang lasak, supaya ketahanan diri mereka dapat disemai dan ditaut.

Amatlah malang bagi sebilangan ibu bapa yang ‘sayang anak’ sehingga apabila anak mereka ‘dicuit’ oleh guru pun, ibu bapa hadir ke sekolah menyalahkan guru. Inilah kehidupan. Kadang kala masa berlalu pantas. Zaman telah berbeda. Jika masa lalu, teguran guru akan dihargai dan disanjungi oleh ibu bapa. Tetapi sekarang semuanya telah berubah. Anak-anak terlalu manja dan suka pula mengadu domba. Lebih malang, ada yang mereka-reka cerita bahawa guru akan pukul jika pergi ke sekolah dan bermacam-macam lagi alasan. Inilah bezanya anak-anak di bandar dengan penghidupan anak-anak di desa. Menyelami hakikat ini, kita tidak boleh cepat melatah dan menyalahkan keadaan. Mereka perlu dididik dengan cara dan penghidupan mereka. Cara mendidik anak-anak di bandar, lain dan berbeza berbanding mendidik anak-anak di desa. Selamilah jiwa mereka, nescaya mereka turut menjiwai naluri mu cikgu !

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Hari ini, detik menjiwai anak-anak di segenap ceruk desa dan kota telah tamat melalui PBS Fasa terakhir ini. Bermula dari PBS Fasa Pertama sehinggalah PBS Fasa terakhir, banyak yang telah mengajar dan mendidik saya untuk lebih menghargai dan menjiwai anak-anak. Menganngap mereka sebagai keluarga sendiri yang perlu diberi kasih sayang, dihormati, dihargai, dilayani, ditekuni dan dimesrai, bukanlah suatu yang mudah. Tetapi, percayalah bahawa membentuk ummah Rabbani dan berjiwa bebas akan tercapai jika cikgu-cikgu semua mempunyai CINTA di dalam diri. Ya, guru ialah penyebar cinta. Guru ialah penyebar kasih. Guru juga penyebar sayang yang setia. Cinta, Kasih mahupun Sayang tidak akan tersebar jika guru tidak mempunyai CINTA. Betul kata-kata hukamak:

“Orang yang tidak mempunyai cinta, tidak akan dapat memberi cinta.”

Penghidupan kita semua di dunia ini, banyak dibantu oleh CINTA. Ya, perasaan cinta merupakan elemen kekuatan dalam diri. Cinta kepada rakan, Cinta kepada guru, cinta kepada keluarga, cinta kepada alam, dan lebih penting, Cinta kepada ILMU. Yakinlah jua bahawa gurulah penyebar CINTA paling setia dan tabah. Kerana guru, kita semua merasai manisnya ‘bercinta’ dengan ilmu yang maha luas. Menyedari hal ini, saya perlu bersedia, untuk memupuk cinta kepada anak-anak dalam Siri-siri PRAKTIKUM yang akan bermula pada semester hadapan ! Semoga kita mempunyai cinta yang sebanyak-banyaknya, dan dapat menyebarkan cinta seramai-ramainya !

Ya, Anehnya Ranjau Kehidupan! Perkara yang kita tidak sangka akan berlalu, telah berlalu dan telah meninggalkan kita sejuta memori dan kenangan yang terindah. Pupuklah rasa kesyukuran dengan segala kekuatan yang telah danugerahkan untuk mendeklamasi hidup ini dengan segala rencam dan onak yang tidak berkesudahan. Di sini, hari ini, kedua-dua tangan ini medah ke langit, mensyukuri segala nikmat-Mu Tuhan !!

AHMAD SYAFIQ AMIR ABDULLAH ZAWAWI

TERENGGANU.

22 OGOS 2013

Anekdot Kehidupan 1

Seminggu ini saya berada di Dungun, Terengganu. Sekadar secebis catatan hati yang membuak ingin dilepaskan. Hari yang tanpa sunyi daripada bisikan bayu pantainya yang sentiasa bertiup, tidak mengenal waktu mahupun ketika. Saya meneruskan tugas menjalankan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) bagi Fasa ke-4, fasa terakhir.

Mendengar cerita dan luahan hati rakan-rakan yang seakan jemu dan ‘penat’ untuk ber-PBS membuat saya terfikir, betapa masa sememangnya tidak pernah henti berlari. Semakin dikejar, semakin pantas pula ia memecut. ‘Penat’ yang diungkapkan itu membuat saya bertanya kepada diri sendiri, apa? Sesungguhnya masa inilah harus diguna untuk diri ini lebih mengenali masyarakat, kenal budaya dan peradaban bangsa, kenal kanak-kanak riang yang ingin sentiasa dibelai dan diberi perhatian, kenal mahaguru yang pernah mencurahkan ilmu bakti, dan yang lebih penting, mengenali diri sendiri dan Pencipta.

Lihatlah kepada rencam kehidupan. Pandanglah kepada wajah-wajah penghuni masyarakat ini yang sedang membina kehidupan buat anak-anak watan akan datang. Langsung tidak pernah kenal panas sejuk dingin berhujan mahupun berembun. Kenanglah kepada pohon-pokok yang melambai setiap ketika seakan memanggil diri hampir kepada batang tubuh dahan julai mereka. Lihatlah kepada pasir yang dipijak dienjak. Pandanglah ke langit yang membiru mahupun yang berawan berkabus. Dengarlah kepada riangnya unggas berkicau mahupun serangga yang setia pada pasangan menyahut memanggil setiap detik. Adakah kita merasakan kehidupan ini sangat ‘bosan’ dan meletihkan?

Masa ini harus diberi kepada diri mengenal diri. Masa inilah waktu yang sesuai untuk membuat koreksi diri yang pernah lalai. Kehidupan saya di sini, membuat saya banyak berfikir, masyarakatnya, budayanya, anak-anaknya, suasananya, pantangnya, ekonominya, sosialnya, waimma hangat dan dinginnya juga turut terlintas di kepala. Anak-anak yang nakal di sekolah, mahupun anak-anak yang setia pada Muqaddam Quran-nya dibawa setiap petang datang mengaji hampir saban  hari. Semuanya bermain di kepala ini yang menjadi cermin hidup orang di sini. Sesungguhnya merekalah nadi denyut rencam hidup yang entah bila berkesudahan, merekalah mewarnai hidup mereka dengan segala macam warna yang menyegarkan jiwa mereka seadanya.

Bayu laut sentiasa bertiup, ombak sentiasa memukul pantai selembutnya. Orang-orang di sini tetap dengan kehidupan mereka, nelayan, pekebun, peniaga, penjawat awam mahupun anak-anak kecil dengan urusan mereka, pagi-petang-malam. Percayalah, mengenali diri dan orang lain bukan dalam masa 24jam mata berkelip nadi berdenyut. Pandanglah mereka dengan penuh kasih. Lihatlah mereka dengan senyum tawa dan sapaan semesranya. Hiduplah berjunjung adat dan budaya. Sebarlah kasih dan sayang semahunya sederapnya sekudusnya. Hanya manusia yang mempunyai kasih sahaja yang mampu memberi kasih kepada yang lain.

Dungun- sebuah bandar pesisir pantai, hiduplah setenteramnya. Mengenali budaya dan rencam masyarakatnya dan kehidupannya yang pelbagai rupa, warna dan adat. Bertutur berlapik tanda diri ini hormat. Semoga anak-anak di sini juga diberi kasih sebanyaknya.