Harapan Untuk Bakal Pemimpin

leader

Saya sangat teruja dengan keperibadian dan semangat yang ditunjukkan oleh calon-calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) yang akan bertanding dalam pilihan raya kampus, IPG Tengku Ampuan Afzan bagi sesi 2014/2015  ini. Saya hadir dalam majlis pengumuman calon pilihan raya pada 09 Januari 2014 yang lalu, semata-mata ingin melihat bakal-bakal pimpinan Mahasiswa IPG Afzan ini dengan lebih dekat. Semangat mereka, inspirasi dan hasrat mereka telah terbukti mampu membawa harapan dan citra baharu dalam kalangan bakal pendidik. Entah mengapa, saya begitu merasakan inilah barisan yang dilihat dan diyakini mampu membawa aspirasi dan perubahan kepada corak pimpinan sebelum ini. Saya memilih untuk menjadi pemerhati sahaja untuk pilihan raya kali ini, dan bukannya sebagai calon. Saya terpaksa tumpukan beberapa perkara yang penting untuk tahun-tahun terakhir ini. Walau bagaimanapun, sokongan saya terhadap hasrat dan citra mahasiswa pendidik ini tidaklah luntur.

Sejak menjejakkan kaki di kampus ini, saya terlalu ingin melihat mahasiswa di sini di barisan hadapan dalam segenap bidang. Saya ingin melihat mahasiswa pendidik ini merupakan mahasiswa yang cakna segala macam perkara, terutamanya pendidikan. Saya juga ingin melihat bakat-bakat pimpinan generasi muda terus menyubur hari demi hari. Saya selalu impikan mahasiswa pendidik yang lahir di sini merupakan mahasiswa yang teguh pendirian dan prinsip, mampu membawa rakan seangkatan agar bertaut di  perdu kejayaan dan bukannya seorang yang lemah serta jumud. Moganya impian dan mimpi saya akan ternyata tidak lama lagi hendaknya. Saat makalah ini ditulis, tentunya calon-calon yang akan bertanding merebut pelbagai kerusi dalam pemilihan akan datang telah mula berkempen, walaupun di alam siber, berFacebook, berTweet dan berblog sebagainya.

Sejak tiga tahun yang lalu, impian dan hasrat saya kepada rakan-rakan yang mencalonkan diri untuk bertanding agar dipilih untuk memimpin tidak pernah berubah. Hasrat yang sama juga saya ulang tatkala musim memilih hampir tiba ke kemuncak. Sejak tiga tahun kebelakangan ini juga, impian saya masih sama (akan saya nyatakan di bawah) dan telah  diulang sebut kepada calon-calon sebelum ini. Malangnya, hasrat saya masih belum terzahir secara tuntas. Maka makalah ini ditulis kembali agar calon-calon yang dipilih kelak akan berusaha sedayanya dan seupayanya agar impian kerdil ini akan ternyata dan terzahir.

Impian saya kepada calon-calon yang bertanding:

Pertama; Saya ingin melihat program-program bicara akademik dihidupkan semula di kampus ini. Entah mengapa sebabnya, sejak dua tahun kebelangan ini, program bulanan “Profesional Talk” dihentikan. Perhimpunan –perhimpunan bulanan yang diadakan hanyalah sekadar ucapan-ucapan biasa daripada pihak pengurusan sahaja dan itu ada kalanya sangat membosankan. Saya ingin bersikap jujur dalam hal sebegini. Pelajar-pelajar hanya dihimpunkan sebulan sekali hanya untuk diberi peringatan yang sama setiap bulan dan berulang-ulang kali? Mengapa agaknya kebiasaan dan budaya ilmu seperti Profesional Talk yang sangat baik itu tidak dilaksanakan lagi? Oleh itu, bagaimana pelajar dan bakal guru ini akan terdedah minda mereka jika program seperti ini pun sudah tidak dilaksanakan? Kita sering bercakap tentang pemikiran kritis, budaya berfikir aras tinggi, tetapi ada kalanya kita terlepas pandang metod yang terbaik dan kita ada kalanya bermimpi sahaja. Justeru, saya berharap bicara siswa / syarahan akademik yang diberi oleh professor-profesor dan tokoh-tokoh akademik dapat diteruskan kembali demi kemaslahatan dan perkembangan daya fikir pelajar.

Kedua; Impian saya agar mahasiswa pendidik guru ini dilibatkan secara langsung dalam pelbagai program sosial dan kemanusiaan. Mengharapkan silibus dan proforma Bina Insan Guru (BIG) semata-mata tidak cukup untuk hanya sekadar beberapa jam, malah mahasiswa dan mahasiswi bakal guru ini perlu dilibatkan untuk lebih terbuka dengan masyarakat, mengambil tahu perihal anak-anak dan gelandangan yang masih ketinggalan dan tidak berpendidikan dan sebagainya. Program-program kesukarelawan yang digerakkan oleh JPP juga mestilah diwujudkan bagi memberi peluang kepada bakal-bakal pendidik ini untuk terus membina softskills yang pelbagai, dan bukan hanya tertumpu atau terkurung di bilik-bilik kuliah semata-mata. Kurangnya pengamalan nilai-nilai kasih sayang dan prihatin terhadap masyarakat, membuatkan mahasiswa dan mahasiswi kini terlalu sombong dan sibuk  mengejar ranking dalam peperiksaan tanpa berfikir untuk membantu dan turut serta menyelesaikan permasalahan masyarakat sekitar.

Ketiga; Perlunya kepada sesi-sesi diskusi dan wacana yang digerakkan oleh JPP untuk membincangkan hala tuju dan prestasi pendidikan negara secara pragmatik. Sejak beberapa tahun ini, harapan saya adalah untuk melihat bakal-bakal guru ini berdiskusi dan berhujah secara matang dalam mendepani cabaran pendidikan alaf-21 ini. Saya cukup terkesan dengan laporan terbaru mengatakan masih ada bakal-bakal guru ini yang masih gagal dalam temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) disebabkan oleh beberapa faktor yang dominan, dan antaranya ialah LEMAH pengetahuan am. Di samping itu, dasar-dasar pendidikan negara juga tidak dapat dihujahkan secara jitu dan mahasiswa pendidik guru dilihat masih terkial-kial untuk berbicara masalah pendidikan.

 Contoh termudah, tanyalah kepada diri sendiri, sejauh mana kita faham tentang apa itu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) ini. Tidak mustahil masih ramai yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dan tanyalah kepada diri sendiri, apakah kita masih bersenang lenang dengan laporan prestasi antarabangsa PISA dan TIMMS yang meletakkan negara kita antara negara di kedudukan tiga terkebawah dan tercorot. Justeru, hal-hal yang penting sebegini perlu dipandang serius oleh pimpinan akan datang dan langkah-langkah untuk mengadakan wacana dan diskusi tentang pendidikan negara kita perlu disegarkan semula. Saya pun tidak pasti kenapa sejak akhir-akhir ini terlalu banyak hal yang dipandang mudah, adakah penuntut IPG masih rasa senang hati dan bermimpi berada di zon selamat??

Keempat; Harapan saya kepada pimpinan JPP yang akan datang supaya menggiatkan semula kolaborasi dan merintis jalan kerjasama antara Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di seluruh institusi pendidikan tinggi seluruh negara. Saya ingin melihat JPP IPG ini dapat bergerak dan mencari permuafakatan dengan pimpinan mahasiswa universiti seluruh negara secara dinamik. Jujurnya, saya merasakan JPP ini cukup terasing dan terkebelakang dalam hal-hal seperti ini. Inilah masanya dan ketikanya pimpinan IPG berganding bahu dengan MPP seluruh negara bagi menggerakkan semula semangat dan hala tuju mahasiswa dan mahasiswi. Dengan adanya tolerasi dan program-program rintis ini, saya amat yakin dan percaya bahawa kemahiran dan idealisme di pelbagai gedung ilmu ini dapat disebarkan dan ditambahbaik dari semasa ke semasa. 2014 bukanlah masanya kita masih di dalam tempurung lama, malah kita perlu melonjak ke hadapan agar dapat dilihat dan dihargai.

Sayalah orang yang pertama akan bertepuk gembira jika keempat-empat harapan dan impian utama saya ini dapat direalisasikan dan dizahirkan. Saya amat memahami bukanlah mudah untuk memenuhi hasrat ini, tetapi kita tidak akan mengetahui keupayaan kita sendiri sehingga kita mencuba dan mengorak langkah sendiri. Saya tidak akan sentuh pemasalahan-permasalahan yang lain, kerana semuanya telah disuarakan oleh calon-calon yang bertanding. Harapan dan hasrat serta doa saya kepada calon-calon, agar dipermudahkan dan diberi ketenangan dalam apa jua usaha dan pengorbanan yang dilakukan. Saya bermohon kehadrat Ilahi agar anda semua dikurniakan taufik dan hidayah daripada Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang agar kita semua berada dalam lindungan limpah rahmat, berkat, hidayah dan inayah-Nya jua.

Selamat berkempen dan Selamat membuang undi.

Ahmad Syafiq Amir bin Abdullah Zawawi

Pelajar Tahun Ketiga, Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Pahang.

12 Januari 2013

2 thoughts on “Harapan Untuk Bakal Pemimpin

  1. Zaman Cikgu Zam juga cukup meriah dengan kempen pilihan raya kampus. Namun ada juga unsur negatif seperti surat layang…Harap berlangsung dengan bersih..

  2. Namun cabaran sebenar anda dan rakan sepelatih sebagai pemimpin adalah selepas anda bergelar guru….tanggungjawab memimpin anak-anak di sekolah….ramai guru yang ‘tewas’ sebagai pemimpin anak bangsa selepas …mereka sekadar menjadi GURU tetapi gagal menjadi PENDIDIK.

Sila Tinggalkan Komen Anda..

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s