2014, Anak Murid dan Mahasiswa

murid

  Hari ini, bermulalah fasa baharu dalam dimensi kehidupan anak-anak yang baru menjejakkan kaki bergelar ‘Anak Murid’. Memasuki alam persekolahan tentunya suatu yang mencabar diri dan kebiasaan mereka. Anak-anak yang lahir dalam keadaan fitrah- suci bersih akal dan jiwa mereka; dihantar ke sekolah dengan harapan agar citra diri dan budi mereka diwarnai sebaiknya dan setulusnya. Anak-anak dihantar ke sekolah dengan harapan yang besar agar dididik untuk menjadi manusia. Maka, peranan sang pendidik pula ialah untuk memanusiakan manusia. Sesungguhnya benarlah kata-kata Ybhg Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dalam ucapan beliau semasa Konvensyen Teach For The Needs (TFTN) kali ke-2 pada 21 Disember 2013 yang lalu bahawa klausa “Anak Didik” sememangnya tidak dapat dan tidak perlu dipisahkan. Betapa peranan sang pendidik amat dekat di hati mereka, yang dianggap sebagai “anak” dan dalam masa yang sama mereka juga perlu “dididik” untuk menjadi manusia, dan bukannya robot.

 Sesuatu yang membuatkan saya terimbau kembali kisah lama saya, pada tahun 1999 yang lalu, di suatu desa terpencil, saya dihantar oleh ibu bapa saya untuk memulakan Tahun Satu di sebuah sekolah kampung biasa.  Malangnya, hari pertama saya berada di Tahun Satu itu, kami telah disuruh untuk mengambil satu ujian khas. Ujian yang dikendalikan oleh guru-guru di sekolah tersebut bertujuan untuk menyusun murid-murid, iaitu murid di kelas hadapan dan murid-murid di kelas belakang. Masih lagi terbayang dalam kenangan saya, murid-murid yang tulisannya cantik, dapat membaca, dapat menulis dan dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan akan ditempatkan di kelas-kelas yang baik. Sedangkan murid-murid yang tulisannya seperti cakar ayam, tidak tahu membaca, tidak pandai pun menulis serta yang tidak dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan, semestinya akan ditempatkan di kelas-kelas hujung, atau kelas-kelas corot!

 Hari ini saya tertawa kecil mengenang kisah tersebut, dikala melihat gelagat-gelacat comel anak-anak yang baru memulakan persekolahan pada hari ini. Agak mengecewakan juga apabila pada hari pertama saya bersekolah, kami telah diajar untuk bersaing sesama sendiri, dengan harapan akan mndapat kelas yang baik dan bukannya diajar untuk bersahabat. Benar, di dalam kelas, kami diajar bersaing dengan rakan-rakan yang lain. Bersaing untuk menjadi yang terbaik, itulah fitrah anak-anak seawall umur saya ketika itu. Bila masanya untuk bersahabat? Bersahabat hanya pada waktu rehat, waktu berjalan ke kantin sekolah untuk membeli makanan mengisi perut yang lapar dan sewaktu bermain pada waktu lapang. Masa yang selebihnya akan digunakan untuk bersaing sesama sendiri di dalam kelas atas kayu ukur intelek!

 Sengaja saya bawakan kisah saya di awal penulisan ini untuk kita sama-sama melihat keadaannya pada masa sekarang. Walaupun ujian-ujian yang telah saya sebutkan mungkin tiada lagi pada hari ini, tetapi seolah-olah tempiasnya masih lagi wujud. Anak-anak hari ini dibezakan dengan taraf intelek dan keupayaan mereka menjawab soalan-soalan guru. Anak-anak hari ini dibezakan dengan kedudukan kelas – Kelas depan akan disangka kelas terbaik dan kelas belakang disangka kelas yang tidak baik dan hanya untuk pelajar-pelajar lemah. Persepsi dan hakikat ini telah ditanam dalam diri anak-anak sejak sekian lamanya, tanpa mempedulikan perasaan mereka. Anak-anak lemah, tidak tahu membaca, tidak pandai mengira, akan diletakkan di kelas hujung. Guru-guru juga disusun dengan sebaiknya untuk ditugaskan mengajar di kelas-kelas pilihan sekolah. Apakah ini sebenarnya pendidikan? Adakah ini sebenarnya ilmu? Adakah kita memahami dan pernah terfikir, apakah perasaannya dilihat sebagai pelajar corot yang lemah di kelas belakang? Moganya situasi ini tidak lagi berlaku di zaman kita semua sedar apa tujuan pendidikan yang sebenarnya, iaitu untuk mmanusiakan manusia.

Harapan Untuk  Anak-anak

Hari pertama anak-anak ke sekolah pastinya sarat dengan sejuta satu cerita untuk dikongsi. Tidak cukup dengan cerita yang menggembirakan, pastinya trending di laman-laman sosial juga dipenuhi dengan kisah anak-anak di sekolah. Anak-anak daripada kalangan pelbagai latar belakang sosio-ekonomi ke sekolah mencari ilmu dan mencari erti sebuah kehidupan. Saya tersentuh dengan ceritera rakan-rakan berkenaan anak-anak daripada kalangan warga Orang Kelainan Upaya (OKU) yang masih bersemangat ke sekolah. Sebagai seorang bakal pendidik, saya juga teruja dan gembira sekali melihat reaksi mereka. Begitu juga anak-anak yang berkeperluan khas, anak-anak daripada kalangan autisme, slow learner, malah anak-anak yang mempunyai sindrom down pun masih bersemangat untuk tahun baharu persekolahan mereka.

 Mereka tidak wajar disisihkan. Mereka tidak wajar didiskriminasi. Mereka juga tidak wajar dianggap bodoh atau kurang cerdik. Tidak adil bagi mereka untuk disisihkan dalam dunia pendidikan. Anak-anak daripada kelas corot yang masih tidak tahu membaca dan menulis juga tidak wajar diherdik dengan kata-kata nista. Anak-anak yang hodoh tulisannya tidak wajar dipukul tangan-tangan mereka semata-mata untuk mencantikkan tulisan pada buku-buku tulis garis tiga. Sebaliknya, anggaplah mereka juga manusia yang datang sebagai anak-anak kita. Anak-anak yang perlu diberi perhatian dan kasih sayang dengan sejuta kata-kata perangsang, penambah semangat dan tarikan untuk belajar.

 Dalam hati kecil ini, saya masih mengharapkan anak-anak ini dihargai seadanya dan setulusnya serta dianggap sebagai setaraf dengan anak-anak yang lain di kelas-kelas yang dianggap baik. Janganlah kita menghukum mereka dengan segala ketidakupayaan mereka untuk menjawab soalan-soalan di dalam kelas. Janganlah sesekali menganggap kehadiran mereka akan menjatuhkan kedudukan dan ‘ranking’ sekolah. Mereka harus dididik dan diajar untuk saling memahami, mempercayai dan mencintai antara satu sama lain, dan bukannya diajar untuk bersaing siapa terpandai di dalam kelas. Persaingan bukan matlamat pendidikan. Persaingan hanya akan menghasilkan anak-anak yang mementingkan diri, angkuh, sombong dan tidak ambil peduli dengan nasib rakan-rakan yang lain yang masih lemah. Sang pendidik perlu memberi nafas baharu untuk anak-anak, supaya mereka sentiasa mahu ke sekolah dan bukannya dipaksa ke sekolah oleh ibu bapa setiap hari. Hargai dan jadilah pendengar yang setia untuk anak-anak ini, dan anggaplah mereka sebagai kawan bukannya lawan.

Harapan Untuk  Mahasiswa dan Bakal Pendidik

Saya teruja luar biasa kerana ‘trend’ mahasiswa kini telah mula berubah untuk ambil peduli tentang kisah-kisah pendidikan. Mahasiswa yang cakna pendidikan ini telah mula bangkit dan menyatakan idea-idea dan usaha untuk membantu sistem pendidikan yang dianggap semakin tenat. Syabas dan tahniah buat mahasiswa seluruh negara yang telah bangkit setelah lama ‘lena’ sebelum lena yang sebenarnya. Sesungguhnya perhatian setiap mahasiswa ini perlu dipuji dan dihargai. Tidak ramai yang sudi menghulurkan tangan di kala anak-anak kita masih tidak tahu membaca dan menulis, walaupun telah berada di Tahun Enam!

Buat mahasiswa dan bakal guru yang masih lena, bangunlah dan marilah kita turun ke lapangan melihat anak-anak miskin, anak-anak yatim, gelandangan dan  anak-anak kurang upaya mahupun anak-anak yang masih tidak tahu nasib mereka di bumi mereka sendiri. Hulurkanlah bantuan dalam apa bidang sekalipun, nescaya tangan-tangan yang menghulur bantuan itu akan dikenang dan dihargai. Sekarang bukanlah masa untuk mahasiswa mahupun bakal pendidik bicara soal Cinta Monyet, mahupun forum-forum cinta serta mencari ‘Bakal Imam’ dan ‘Bakal Makmum’, nikah awal, tetapi sebaliknya masa ini perlu digunakan oleh semua untuk merenung apakah sumbangan kepada masyarakat dan golongan-golongan marjinal yang tidak bernasib baik. Rugilah mahasiswa yang bersikap sombong, menganggap tugas mahasiswa hanya sekadar mengulang baca nota-nota kuliah dan menjaga pointer dalam peperiksaan, tetapi nasib anak-anak merempat tidak dipedulikan!

 Buat bakal guru, inilah masanya yang terbaik untuk menggunakan ilmu pedagogi yang diperoleh semasa kuliah untuk turun dan sama-sama membantu mencari konklusi kepada kemelut yang semakin membimbangkan ini. Bakal-bakal guru mesti dan perlu lebih aktif untuk membincangkan hala tuju dan masa depan pendidikan negara, serta laporan-laporan prestasi pendidikan negara secara lebih serius. Sedarlah! Adakah kita hanya guru apabila menerima surat lantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan kementerian semata-mata? Bakal-bakal guru masih lagi bicara picisan, tetapi tidak mahu dan tidak ambil peduli maslahat umat yang entah kemana ini.

Bercintalah!

2014 perlu dimulai dengan semangat baharu untuk membawa perubahan dalam dimensi citra anak-anak dan sang pendidik serta masyarakat keseluruhannya. Terapkanlah cinta dalam pendidikan. Sematlah cinta sesama rakan-rakan persekolahan anak-anak. Bantulah mereka untuk bercinta dan bukannya bermusuh dan membenci. Dengan cinta, akan lahirlah harapan dan impian baharu anak-anak. Sang pendidik, murabbi, muaddib dan muallim atau sejuta macam gelaran lagi yang dituju kepada GURU, tanamlah semangat sesama kita untuk lebih memahami dan menghargai mereka yang ada di sekeliling kita. Bercintalah, semoga kita menemui jalan yang lebih baik. Selamat menyambut Tahun Baharu 2014!

Catatan Tahun Baharu,

Ahmad Syafiq Amir, Pelajar Tahun Ketiga,

Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Sukarelawan Teach For The Needs (TFTN).

3 thoughts on “2014, Anak Murid dan Mahasiswa

Sila Tinggalkan Komen Anda..

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s