Anehnya Ranjau Kehidupan: Sebuah Catatan Peribadi

Saya teringat kepada kata-kata Aristotle ketika melangkah untuk ke sekolah hari ini. Kata beliau yang tersohor:

“The roots of educations are bitter, but the fruit is sweet”.

Sungguh dalam maksudnya dan hanya orang-orang yang benar-benar menghargai pentingnya ilmu dan pendidikan akan merasai denyut nadi semantik kepada makna yang maha tersirat ini. Begitulah hidup yang luas ini, sepahit-pahit ubat, masih lagi mujarab untuk menyembuhkan penyakit. Orang yang tidak cinta kepada ilmu, dalam dinyanya mungkin telah ‘dijangkiti’ wabak, sehingga perlu diberi ‘ubat’ mahupun ‘penawar’ yang sesuai dengan cita rasa hidup mereka. Manusia selalu membenci perkara yang buruk, (dalam hal ini rasa pahit), walaupun mereka mengetahui pahit itu dapat menyembuhkan !

Hari ini, 22 Ogos 2013 hari terakhir saya dalam melaksanakan Pengalaman Berasaskan Sekolah (School Based Assessment – SBE). PBS kali ini merupakan fasa ke-4, (fasa terakhir) dalam sub Amalan Profesionalisme Keguruan. Semua sudah mengetahui bahawa amalan-amalan ini merupakan kewajipan kepada saya khususnya, dalam memantapkan elemen nilai dan ‘jiwa’ setelah bertapak dan melangkah dalam dunia pendidikan ini. Justeru, dalam catatan serba hina ini, saya merasakan perlu diimbas kembali kisah-kisah dan beberapa perkara yang telah saya lalui bermula PBS Fasa 1 sehingga tamatnya PBS Fasa 4 pada hari ini. Sekadar catatan peribadi daripada saya yang serba hina.

Masih bermain di hati saya, suara anak-anak ini memanggil saya saban hari. Tanpa jemu. Tanpa penat. Tanpa bosan. Memanggil dan terus sahaja dipanggil “Cikgu !!” berulang-ulang kali. Mereka masih di tahun 4 ketika itu.(Kini Tahun 5). Masih juga saya ingat, Adam, seorang murid yang aktif, tetapi dikatakan kaki buli. Membuli siapa sahaja yang tidak dapat memuaskan hatinya. Tetapi, dalam nakalnya, ada sejuta kebaikan yang jauh mengangkat dirinya lain daripada rakan-rakannya yang lain. Tidak pasti kenapa, saya merasakan sangat rapat dengannya. Setiap kali, setiap hari, dia akan memanggil saya berulang-ulang kali. Waimma semasa saya pulang dari sekolah pun, dia masih menunggu di pintu utama, tanda ucapan ‘selamat tinggal’ kepada saya. Saya takjub dengan sikapnya. Senang sekali saya melihatnya begitu. Melucukan, bila dia berjanji kepada saya, bahawa akan ‘belanja’ saya makan ‘ice cream’ jika kami berjumpa di luar. Saya masih menunggu janjinya. Semoga dia juga mengingati. =)

sem1

Kerap kali juga saya bertanyakan dirinya hal keluarga dan rakan-rakannya yang lain. Adam, anak tunggal dalam keluarga. Tiada abang, tiada kakak, tiada adik. Cara dan penghargaan dirinya kepada saya ketika itu sangat membuat saya tersentuh. Kadang-kanag saya ketawa dengan sikapnya (nakal di hadapan rakannya, tetapi baik pula di hadapan saya). Adam, pada saya tersangat istimewa. Adam, memerlukan lebih bimbingan, perlu diberi kasih yang secukupnya, perlu diberi penghargaan yang sekudusnya. Dia mampu berada di hadapan, jika sentiasa dibimbing. Sikapnya yang agak panas baran, sudah terbiasa dengan fitrah kanak-kanak lelaki yang lain. Tetapi, dirinya dapat dibentuk. Perwatakannya dapat diasuh dengan acuan yang betul. Masih saya ingat, hari terakhir saya di sekolah tersebut (Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, Pasir Mas), dia seakan tidak mahu lagi bercakap dengan saya seperti biasa. Mungkin terlalu kecewa sebab kami akan meninggalkannya di sana. Doa saya sentiasa dititip kepadanya agar menjadi anak yang soleh. Semoga saya dapat bertemu dengannya suatu masa nanti.

Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, bergred A dan tergolong dalam sekolah Luar Bandar. Merupakan sekolah terbaik dalam Daerah Pasir Mas setiap tahun. Khabarnya telah disenarai dalam sekolah yang akan menerima status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam negeri Kelantan. Dua fasa Pengalaman Berasaskan Sekolah telah saya jalankan di sekolah ini. Masih juga ‘bermain’ dalam kotak fikiran saya, tugasan pertama kami semasa kali pertama ialah membuat pemerhatian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran guru KSSR. Saya maklum bahawa diri saya yang kerdil ini, semestinya tidak layak untuk menilai guru-guru di sekolah. Apatah lagi memberikan komen terhadap nilai pengajaran guru. Mereka juga guru-guru saya. Amat ‘kurang ajar’ jika saya datang ke sekolah untuk ‘observe’ mereka yang berpengalaman luas. Tetapi, apabila dimaklumkan kepada guru-guru Bahasa Malaysia bahawa saya akan melihat proses P&P, muka mereka seakan pucat. Seakan bala menanti di hadapan mereka. Mereka hanya bersetuju. Tetapi meminta sedikit masa untuk membuat persiapan. Saya turuti permintaan mereka. Kerana saya hanya ‘budak hingusan’ dalam dunia pendidikan ini.

Dua orang guru telah saya lihat proses P&P mereka di dalam kelas. Ada yang baik, ada yang kurang. Kekurangan adalah sifat manusia. Seperti juga saya yang seba daif lagi hina. Tetapi, apa yang menarik perhatian saya, saya dilayan seperti ‘tetamu’ pada waktu itu. Tanpa diminta, mereka membuat persiapan yang sangat menarik untuk sesi pengajaran mereka. Tanpa diminta juga, mereka menunjukkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) mereka kepada saya. [Seolah-olah seorang guru pelatih yang sedang di-‘observe’ oleh pensyarah]. Saya segan sekali waktu itu. Tidak layak saya menerima layanan seperti ini. Saya senang sekali dengan sikap keterbukaan mereka. Sesi P&P dijalankan dan saya memerhati dari jauh sambil merakam slot tersebut. Apabila tamatnya sesi pengajaran, mereka datang berjumpa saya dan meminta nasihat dan tunjuk ajar agar pengajaran mereka dapat ditingkat dan ditambah baik. Aduh !! Apakan daya saya hanya seorang budak hingusan yang baru bertatih, tidak pandai berlari mahupun melompat !! Itu analogi yang mudah. kata mereka:

“Syafiq, boleh tak awak tolong bagi cadangan atau apa-apa komen pasal pengajaran saya tadi?”

Saya menjawab, “Cikgu, saya hanya budak baru. Tak layak saya hendak memberikan komen.” Saya bertambah malu dengan diri sendiri. Dan Cikgu tersebut menjawab, “Awak orang muda. Masih ‘fresh’. Awak belajar banyak. Mungkin ada apa-apa yang boleh diperbetulkan?” Ternyata sikap sebegini yang saya idamkan. Terbuka meminta kritikan dan nasihat tanpa mengira siapa ‘penasihat’ di hadapan kita. Saya terfikir, jika semua guru berpekerti mulia seperti ini, maka terdidik jiwa anak-anak watan. Mudah-mudahan Allah merahmati Cikgu.

P1010822

P1010751

Saya begitu senang dengan suasana sekolah ini. Senang sekali saya dengan guru-gurunya. Juga senang sekali dengan sikap ‘terbuka’ Guru Besarnya. Sama seperti guru, petadbirnya juga meminta nasihat dan kritikan terhadap suasana sekolah daripada kami ketika itu (semasa hari terakhir PBS) di sana. Melihat kepada ‘perangai’ mereka, saya yakin dan percaya, sekolah, pentadbir dan guru-guru ini akan cemerlang dan mempu mencemerlangkan orang lain. Mereka suka meminta pendapat. Suka meminta kritikan. Sangat berlainan daripada sesetengah manusia yang ‘alergik’ bila ditegur, ‘demam’ bila dikritik.

Sekolah Kebangsaan Bukit Lada – merupakan antara sekolah yang istimewa. Sebuah gedung ilmu luar bandar, jauh dari hiruk pikuk ranjau kota yang menggila. Terletak berhampiran dengan Felda Kampung Awah, Chenor, Pahang. Antara sekolah yang tergolong dalam kumpulan Sekolah Kurang Murid (SKM) kerana jumlah murid di sekolah ini hanyalah 100 orang dan lebih. Terdiri daripada anak-anak desa warga peneroka generasi ketiga. Sekolah ini juga banyak mengajar saya apa itu ‘guru’. Sangat asing bagi saya melangkah masuk ke sekolah ini yang jauh dari kebisingan kota.

Sekolah Kebangsaan Bukit Lada, walaupun berada di kawasan luar bandar, tetapi sangat unik dengan suasana dan iklimnya. Tidak terdapat di tempat lain. Antara keistimewaannya ialah Program Bacaan pagi, di mana murid-murid akan datang awal ke sekolah dan berkumpul di tapak perhimpunan (dalam kumpulan masing-masing) sambil membaca apa-apa bahan yang disediakan setiap hari. Guru-guru pula ditugaskan membimbing murid di dalam kumpulan. Sesi ini berterusan sehinggalah loceng pagi dibunyikan dan murid masuk ke kelas masing-masing.

20130320_074026

Budaya Penyayang yang ada di sekolah ini sangat luar biasa. Setiap hari, Guru Besar dan guru-guru yang lain datang awal ke sekolah dan menunggu / menyambut kehadiran murid-murid setiap pagi. ‘Luar Biasa’ yang saya maksudkan ialah apabila guru-gurunya sangat ramah melayan kerenah anak-anak yang hadir ke sekolah awal pagi. Mereka yang datang awal, akan diberi ‘Star’ dan dipakaikan di baju mereka, tanda mereka dihargai kerana awal datang ke sekolah. Ternyata budaya inilah yang ingin dipupuk. Bukan sahaja memupuk murid-murid supaya datang awal ke sekolah, bahkan mendisiplinkan guru-guru untuk menepati tugas dan masa. Luar Biasa juga apabila sering sahaja melihat kelibat Guru Besar datang lebih awal daripada guru-guru yang lain ! Belaiu seorang yang cemerlang. Anak-anak seharusnya dibelai dan sentiasa didorong dengan kata-kata lunak yang manis, supaya mereka mengerti, kasih sayang yang sebenar. Berhadapan dengan kerenah anak-anak di sini membuatkan saya sangat teruja. Teruja untuk hidup dalam suasana desa ini. Mereka daripada kelompok luar bandar. Tetapi keinginan mereka sangat menjulang tinggi untuk ke hadapan. Mereka cemerlang bagi saya. Budayanya, hidupnya, kelompoknya, suasananya, cukup bermakna dan perjalanan saya dan mereka masih jauh, menelusuri hidup yang tidak berkesudahan. Hanya dengan ilmu, jalan mereka ke hadapan akan terbuka dan mudah.

Berlainan pula kisahnya di Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun, Terengganu. Sekolah yang berada di bandar pesisir pantai ini cukup berlainan. Menjiwai setiap hati murid-murid di sini amatlah menyeronokkan. Anak-anak di sini terdiri daripada golongan nelayan, peniaga, penjawat awam dan bermacam-macam latar kehidupan. Melihat keadaan dan penghidupan di sini tersangatlah aman. Deruan ombak saban hari masih terdengar di telinga. Watak-watak yang pernah hadir dalam penghidupan saya selama seminggu di sana akan turut dikenang. Gelagat lincah anak-anak di sana cukup memeningkan kepala, tetapi jika dikenang, amatlah dirindui saat yang telah berlalu pergi meninggalkan memori dalam dada. Anak-anak di sana, walaupun sedikit nakal, tetapi ada keihlasan dalam diri mereka. Kanak-kanak, penghidupan mereka sememangnya lasak. Ibu bapa yang terlalu mengongkong anak-anak dan ‘terlalu sayang anak’ akan merasa kerugian yang maha besar suatu hari nanti. Anak-anak harus diajar dengan fizikal yang lasak, supaya ketahanan diri mereka dapat disemai dan ditaut.

Amatlah malang bagi sebilangan ibu bapa yang ‘sayang anak’ sehingga apabila anak mereka ‘dicuit’ oleh guru pun, ibu bapa hadir ke sekolah menyalahkan guru. Inilah kehidupan. Kadang kala masa berlalu pantas. Zaman telah berbeda. Jika masa lalu, teguran guru akan dihargai dan disanjungi oleh ibu bapa. Tetapi sekarang semuanya telah berubah. Anak-anak terlalu manja dan suka pula mengadu domba. Lebih malang, ada yang mereka-reka cerita bahawa guru akan pukul jika pergi ke sekolah dan bermacam-macam lagi alasan. Inilah bezanya anak-anak di bandar dengan penghidupan anak-anak di desa. Menyelami hakikat ini, kita tidak boleh cepat melatah dan menyalahkan keadaan. Mereka perlu dididik dengan cara dan penghidupan mereka. Cara mendidik anak-anak di bandar, lain dan berbeza berbanding mendidik anak-anak di desa. Selamilah jiwa mereka, nescaya mereka turut menjiwai naluri mu cikgu !

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Hari ini, detik menjiwai anak-anak di segenap ceruk desa dan kota telah tamat melalui PBS Fasa terakhir ini. Bermula dari PBS Fasa Pertama sehinggalah PBS Fasa terakhir, banyak yang telah mengajar dan mendidik saya untuk lebih menghargai dan menjiwai anak-anak. Menganngap mereka sebagai keluarga sendiri yang perlu diberi kasih sayang, dihormati, dihargai, dilayani, ditekuni dan dimesrai, bukanlah suatu yang mudah. Tetapi, percayalah bahawa membentuk ummah Rabbani dan berjiwa bebas akan tercapai jika cikgu-cikgu semua mempunyai CINTA di dalam diri. Ya, guru ialah penyebar cinta. Guru ialah penyebar kasih. Guru juga penyebar sayang yang setia. Cinta, Kasih mahupun Sayang tidak akan tersebar jika guru tidak mempunyai CINTA. Betul kata-kata hukamak:

“Orang yang tidak mempunyai cinta, tidak akan dapat memberi cinta.”

Penghidupan kita semua di dunia ini, banyak dibantu oleh CINTA. Ya, perasaan cinta merupakan elemen kekuatan dalam diri. Cinta kepada rakan, Cinta kepada guru, cinta kepada keluarga, cinta kepada alam, dan lebih penting, Cinta kepada ILMU. Yakinlah jua bahawa gurulah penyebar CINTA paling setia dan tabah. Kerana guru, kita semua merasai manisnya ‘bercinta’ dengan ilmu yang maha luas. Menyedari hal ini, saya perlu bersedia, untuk memupuk cinta kepada anak-anak dalam Siri-siri PRAKTIKUM yang akan bermula pada semester hadapan ! Semoga kita mempunyai cinta yang sebanyak-banyaknya, dan dapat menyebarkan cinta seramai-ramainya !

Ya, Anehnya Ranjau Kehidupan! Perkara yang kita tidak sangka akan berlalu, telah berlalu dan telah meninggalkan kita sejuta memori dan kenangan yang terindah. Pupuklah rasa kesyukuran dengan segala kekuatan yang telah danugerahkan untuk mendeklamasi hidup ini dengan segala rencam dan onak yang tidak berkesudahan. Di sini, hari ini, kedua-dua tangan ini medah ke langit, mensyukuri segala nikmat-Mu Tuhan !!

AHMAD SYAFIQ AMIR ABDULLAH ZAWAWI

TERENGGANU.

22 OGOS 2013

Sila Tinggalkan Komen Anda..

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s