Refleksi Umum Taman Negara


PERKHEMAHAN SUKAN DAN REKREASI SEMESTER 3

    TAMAN NEGARA KUALA TAHAN,

        JERANTUT, PAHANG DARUL MAKMUR

  19 – 22 SEPTEMBER 2011

Saya mulakan coretan diri penuh marhaen ini dengan Bismillah seribu kali jua, menadah tangan memohon keampunan dan rahmat kehadrat Ilahi moga setiap apa yang tercatat di helaian-helaian kertas ini merupakan coretan yang berupa ilmu dan perkongsian pengalaman yang maha karya buat semua pembaca dan pencinta alam. Saya panjatkan jua sejuta rasa kesyukuran yang tidak ada penghujungnya buat Allah S.W.T  yang telah memanjangkan usia saya sehingga hari ini yang membolehkan saya berkongsi sedikit rasa dan luahan yang selama ini tersirat di lubuk hati yang sangat dalam, semoga apa yang akan disebutkan nanti mampu melonjakkan diri saya dan para pembaca kearah sifat-sifat seorang bakal pendidik dan manusia yang mempunyai harga diri yang tinggi. Secara peribadinya, saya telah guguskan catatan reflektif saya ini kepada beberapa bahagian seperti yang dinyatakan seperti berikut, agar catatan ini lebih tersusun mengikut kehendak dan membolehkan saya menulis dengan lebih lancar dan berkesan:

Bahagian A –   Catatan semasa program

Bahagian B –   Kekuatan program yang dikenalpasti

Bahagian C –   Kelemahan program yang dikenalpasti

Bahagian D –    Saranan pendapat / perkongsian idea

Bahagian A – Catatan Semasa Program

            Taman Negara Kuala Tahan merupakan destinasi kedua saya selepas menyambut perayaan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia di Kuala Lumpur. Menyedari bahawa saya akan melaksanakan aktiviti perkhemahan sukan dan rekreasi selama empat hari di sana, maka semestinya semua kelengkapan dan peralatan telah dipastikan supaya dibawa bersama-sama semasa perkhemahan sedang berlangsung. Apabila menyebut destinasi yang akan saya kunjungi bagi melaksanakan perkhemahan sukan dan rekreasi ini, iaitu Taman Negara, maka akan terbayang di kotak fikiran saya bahawa tempat tersebut merupakan suatu kawasan hutan yang semestinya dijaga dengan begitu baik oleh pihak kerajaan-statusnya Taman Negara. Malahan, amat teruja juga apabila kami sebulat suara menetapkan destinasi untuk perkhemahan kami di sana. Secara jujurnya, inilah lawatan pertama saya di Taman Negara Kuala Tahan sepanjang saya melapor diri di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan ini.

            Melihat suasana di Kampung Kuala Tahan sungguh mendamaikan hati. Hal ini disebabkan oleh pemandangan hutan lipurnya yang dijaga dengan baik serta panorama sekitar kuala sungai Tembeling yang mengasyikkan dan menyejukkan hati apabila dipandang. Waktu awal pagi dan lewat petang yang disediakan untuk masa rehat saya gunakan untuk berada di beranda rumah penginapan memandang setiap apa yang terlintas di hadapan mata. Suka sekali untuk saya kongsikan di sini sedikit suasana yang dapat saya imbas kembali apabila menghabiskan masa merenung dan menilai hasil ciptaan Tuhan apabila berada di Kuala Tahan baru-baru ini. Pada hemat dan pandangan saya, Kuala Tahan ini semestinya menjadi tarikan ramai pelancong bukan sahaja dari dalam malahan dari luar negara. Apabila saya menjejakkan kaki di Kampung Kuala Tahan ini, saya telah mendapati bahawa terlalu ramai pelancong asing dari Eropah dan seluruh dunia termasuk dari China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat malah dari pelbagai ceruk serta pelusuk tanah air yang berpusu-pusu datang mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan ini. Hal ini telah jelas membuktikan kepada kita semua bahawa Taman Negara Kuala Tahan juga merupakan destinasi pilihan pelancong asing daripada seluruh dunia dan Taman Negara Kuala Tahan ini tidak harus dipandang enteng oleh sesiap jua.

            Selain mendapati bahawa kawasan ini sangat kaya dengan kunjungan para pelancong dari seluruh dunia, saya juga dapat membuat refleksi berkaitan penduduk di kawasan Kuala Tahan. Rata-rata penduduk yang saya sempat perhatikan merupakan penduduk asal di kawasan ini. Mereka lebih bergiat aktif dalam aktiviti perniagaan dan pengusahaan gerai-gerai makanan secara ‘restoren terapung’ yang diletakkan di sepanjang Sungai Tembeling. Ada juga dalam kalangan penduduk yang saya perhatikan melakukan aktiviti perniagaan di kedai-kedai runcit di sepanjang jalan menuju ke jeti. Semua ini semestinya merupakan aktiviti harian penduduk di sini sebagai punca utama ekonomi mereka. Tidak lupa juga para pengusaha bot-bot kecil dan bot-bot penumpang yang selama ini bertungkus lumus sebagai wadah penyatuan dua kawasan- Kuala Tahan dan Taman Negara yang saban hari tanpa penat dan lelah dan tanpa rasa jemu terus memandu bot seawall jam enam pagi setiap hari sehingga larut malam semata-mata bagi kemudahan para pengguna bot dan para pengunjung Taman Negara. Apabila menyentuh soal bot yang beroperasi di sini, ia merupakan suatu pengalaman yang sangat berharga buat saya sendiri. Bukanlah bermaksud saya tidak pernah menaiki bot selama ini kerana seawall usia enam tahun, saya telah merasai keadaan menaiki bot menelusuri arus sungai yang deras. Namun, menaiki bot di Kuala Sungai Tembeling ini membuatkan hati kian terpaut. Setiap hari, saya dikejutkan daripada tidur oleh kebisingan bunyi enjen bot yang berlegar-legar seawall jam enam pagi setiap hari. Saya dapat bayangkan bahawa penduduk di sini akan merasai keadaan yang sama dengan saya kerana mereka telah berada di sini sekian lama.

            Tidak dapat dilupakan juga pengalaman merasai suasana hening pagi di sungai Tembeling – kerana tempat penginapan kami amat hampir dengan sungai tersebut. Setiap pagi sebelum sesi senaman dilakukan, saya semestinya akan duduk di bangku berdekatan dan merenung kearah sungai. Ternyata banyak yang dapat diperhatikan apabila berada di sana saban hari. Dari jauh, saya dapat perhatikan gelagat para nelayan yang kerap kali melambung pukatkan di dalam sungai bagi mencari ikan. Mungkin di fikiran saya ketika itu merasakan bahawa mereka juga merupakan antara pengusaha restoren terapung yang berada di sepanjang sungai, atau mungkin juga mereka merupakan antara penduduk di Kampung Kuala Tahan ini yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara pukat setiap pagi. Mereka akan berada di atas bot persendirian mereka dan hanya melakukan kerja-kerja harian mereka tanpa mempedulikan orang lain. begitu juga keadaannya apabila saya memerhatikan bahawa di kawasan Kampung Kuala Tahan ini, begitu ramai pengusaha yang mengambil peluang keemasan untuk mendirikan rumah-rumah tumpangan serta tempat-tempat kediaman untuk para pelancong. Mereka telah memberikan pelbagai nama mengikut pengusaha masing-masing, sehingga ada antara rumah yang diberi sewa untuk pelancong daripada rumah kos yang begitu rendah sehinggalah rumah atau bilik yang diberi sewa dengan kos yang sangat mahal. Hanya terpulang kepada para pengunjung untuk memilih tempat penginapan yang diingini untuk bermalam.

            Berhampiran kawasan penginapan kami ini juga, saya telah mendapati bahawa terdapat sebuah sekolah rendah yang telah lama didirikan di sini. Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan merupakan sebuah sekolah yang mempunyai kapasiti pelajar yang sederhana dan kebanyakan pelajarnya adalah anak-anak penduduk di kawasan ini. Hampir setiap pagi ketika saya dalam perjalanan solat Subuh atau Maghrib, saya akan berjumpa dengan para pelajar sekolah ini. Apa yang harus dibanggakan di sini ialah sahsiah dan budi pekerti yang diajar serta ditunjukkan oleh mereka kepada para pelancong sangatlah membanggakan. Apabila berjumpa dengan pelancong misalnya, mereka tanpa segan dan silu akan memberi salam dan memberi senyuman paling manis buat kami para pelawat. Hal ini sedikit sebanyak membuatkan saya sangat terpegun dengan kehalusan budi dan ketinggian akhlak yang mereka tunjukkan. Jarang sekali kita dapat berjumpa dengan para pelajar yang diasuh sejak kecil untuk menghormati orang lain apabila bertemu. Semestinya kejayaan harus diberikan kepada para pendidik di sana kerana mampu membentuk akhlak dan sahsiah para muridnya dalam memberikan layanan mesra kepada para tetamu yang berkunjung di sana.

            Kami mulakan aktiviti pada malam pertama kami di sana dengan pengembaraan penuh bermakna, iaitu Night Jungle Walk. Aktiviti ini merupakan julung-julung kali yang pernah saya sertai iaitu berjalan di dalam hutan pada waktu malam. Saya bersama Sembilan orang rakan kumpulan ditemani oleh seorang pemandu pelancong yang ditugaskan khas untuk menjaga kumpulan kami sepanjang program ini berlangsung di sini. Pengelaman ditemani oleh Abang Dabang yang berkhidmat di Taman Negara membuatkan saya berasa sangat selesa dengan segala penerangan dan penceritaannya sepanjang perjalanan kami memasuki hutan pada waktu malam. Tujuan kami mengadakan aktiviti ini adalah untuk memerhatikan hidupan-hidupan hutan pada waktu malam, termasuklah binatang-binatang seperti serangga dan turut disertai juga dengan hidupan-hidupan liar yang berkeliaran di dalam hutan pada waktu malam. Perjalanan yang mengambil masa selama hampir empat jam memasuki hutan pada malam pertama saya di sana digunakan dengan sebaiknya. Dalam perjalanan menuju masuk ke hutan, Abang Dabang telah menunjukkan kepada kumpulan kami seekor kala jengking yang berwarna hitam yang sedang berada di bawah akar sebatang pokok. Kala jengking tersebut atau nama lainnya “black scorpion” ini sangat besar jika diperhatikan dari jarak yang dekat. Binatang ini sangat sensitive terhadap tindak balas cahaya keatasnya. Apabila disuluh, ia akan undur semula di dalam akar pokok tersebut seolah-olah sangat takut kepada kami. Pengalaman berharga ini digunakan dengan sebaik mungkin untuk memerhatikan hidupan ini secara lebih terperinci.

            Selain itu, keadaan kawasan hutan yang basah juga sedikit sebanyak mempengaruhi binatang-binatang kecil seperti pacat untuk semakin aktif dengan kehadiran manusia. Pacat-pacat ini akan sentiasa merayap di atas tanah mencari mangsanya. Tambahan itu juga, saya turut merasai pengalaman yang paling berharga iaitu merasai bunyi-bunyi serangga hutan yang sangat aktif pada waktu malam. Hal ini termasulaklah serangga-serangga yang mengeluarkan bunyi yang sangat nyaring yang sentiasa berada di batang-batang pokok dan tidak dilupakan juga saya telah menjumpai seekor semut yang sangat besar. Dikatakan bahawa semut ini merupakan semut dagaing, iaitu spesies semut hutan yang aktif pada waktu malam. Ia tidaklah berbahaya, tetapi jika digigit oleh semut ini, bukan sahaja akan bengkak, tetapi isi juga akan terkoyak kerana gigitan semut yang besar ini. Digambarkan bahawa saiz semut ini menyamai sebesar ibu jari tangan saya dan berwarna hitam.

            Walau bagaimanapun, tujuan kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan hanya disertai oleh sepuluh orang sahaja dilihat sebagai wadah untuk kami untuk bersama-sama memupuk semangat kerjasama antara ahli kumpulan. Hal ini dibuktikan bahawa kami sangat bertoleransi dan bekerjasama dalam setiap apa yang kami lakukan sepanjang program ini berlangsung. Saya juga dapat melatih diri saya agar sentiasa percaya kepada ahli kumpulan. Semasa perjalanan memasuki hutan pada waktu malam ini, pelbagai rintangan terpaksa kami hadapi termasuklah jalan merentasi hutan itu berlopak dan sangat licin, disertai pula dengan segala hidupan di atas tanah seperti pacat yang sentiasa mencari-cari mangsanya dan keadaan laluan yang telah rosak yang mampu membahayakan setiap orang yang melalui jalan berkenaan. Namun, hasil daripada kepercayaan kepada ahli kumpulan yang kami terapkan bersama-sama semasa melaksnakan aktiviti ini, kami mampu menghadapai setiap ujian dan rintangan ini dengan berkesan dan sebaiknya. Peluang untuk bekerjasama dalam satu kumpulan ini juga menggambarkan betapa hubungan yang terjalin dengan pemandu pelancong yang ditugaskan untuk membawa kami sepanjang program ini semakin erat. Kami dapat saling bertukar-tukar pandangan, memberikan pendapat dan berkongsi pengalaman dan idea bersama-sama pemandu pelancong bagi kumpulan kami. Hal ini menggambarkan bahawa saya dan ahli kumpulan mampu membentuk suatu ukhuwwah yang erat dan mantap walaupun hanya sehari baru kami temui.

            Selain Night Jungle Walk, aktiviti terpilih yang dirasakan perlu untuk saya kongsikan di sini ialah pengalam paling berharga semasa melakukan aktiviti Jungle Trekking bersama kawan-kawan memasuki Taman Negara Kuala Tahan. Perjalanan sepanjang 9 jam ini kami gunakan dengan sebaik yang mungkin. Ini merupakan pengalaman jungle trekking saya yang kedua kalinya. Saya pernah melakukan aktiviti jungle trekking semasa berada di Gunung Senyum semasa kursus kepimpinan beberapa bulan yang lalu. Namun, pengalaman pada kali ini yang saya peroleh di Hutan Simpan Taman Negara ini merupakan suatu pengalaman yang paling mencabar dan sukar setakat ini. Pengembaraan yang bermula seawall jam 8 pagi itu diisi dengan taklimat daripada pemandu pelancong yang membawa kami. Dalam perjalanan memasuki hutan (jungle trekking) ini, kami telah diperkenalkan dengan pelbagai jenis tumbuhan hutan dan bunga-bungaan yang hidup subur di dalam hutan. Antara pokok yang sempat saya kenal ialah pokok meranti, pokok ipoh, pokok cengal, pokok yang mengelurkan bunga yang sangat cantik sehinggalah pokok yang boleh dikerat batangnya dan diambil air di dalamnya untuk diminum. Namun awas, bukan semua pokok yang terdapat di dalam hutan ini sesuai untuk kegunaan kita. Saya juga sempat mengenali jenis tumbuhan yang mempunyai racun yang mampu membunuh haiwan jika terkenanya.

            Pengalaman mengenali jenis-jenis tumbuhan hutan ini telah menggambarkan kepada diri saya bahawa terdapatnya jenis-jenis tumbuhan di dalam hutan ini yang sememangnya memberikan banyak faedah dan kelebihan kepada kehidupan manusia secara amnya. Penaglaman yang paling bermakna ini juga saya dapati semasa saya berjalan bersama-sama para pensyarah pengiring di belakang. Hal ini disebabkan oleh saya adalah daripada kumpulan ke-10 iaitu kumpulan terakhir dalam ekspedisi ini. Selain itu, pengalaman lain yang dapat saya perolehi semasa melaksanakan aktiviti ini juga ialah semasa membantu salah seorang kawan saya yang sangat gayat dan takutkan suasana yang tinggi. Saya terpanggil untuk membantunya di sepanjang perjalanan kami merentasi Bukit Terisek dan sehinggalah di lubuk yang kami telah jalankan aktiviti “water confidence” semasa berada di sana. Dalam pengalaman membantu kawan saya yang sangat gayat ini, saya telah menggunakan tali botol air yang dibawa bersama untuk membolehkannya memegang pada tali tersebut untuk menuruni cerun yang sangat tinggi. Dalam pengalaman ini, saya menyedari bahawa kita seharusnya bersikap lebih terbuka untuk membantu siapa sahaja yang berada dalam kesusuahan dan difikirkan memerlukan bantuan yang sewajarnya. Hal ini juga sangat mendidik diri saya sendiri agar bersikap empati kepada orang lain.

            Pengalaman seterusnya ialah semasa berjalan menelusuri “Canopy Walkway” sejauh 530 meter. Perjalanan kanopi yang disediakan ini merupakan perjalanan pertama kali saya dalam hidup. Sangat mencabar dan menguji kekentalan mental dan fizikal secara amnya. Perjalanan kanopi ini merupakan suatu jalan yang disediakan dengan berkonsepkan titian gantung yang hanya menggunakan papan sebagai lantai pemijak, jaring di kiri dan kanan dan tali yang disertakan bersama jaring. Perjalaan kanopi ini juga disediakan dalam ketinggian yang sangat tinggi – iaitu pada paras ketinggian kanopi hutan, atau ketinggian paling atas dalam ukuran hidupan hutan. Merentasi perjalanan kanopi ini juga, saya dapat melihat dari atas ke bawah sehingga melihat pelbagai panorama dari atas. Keseluruhan hutan di Taman Negara ini dapat dilihat semasa berada di perjalanan kanopi ini. Keadaan hutan dan lantai hutan juga sayup-sayup dapat dilihat semasa berada di atas titian kanopi. Saat ini, terbayang di sudut hati saya, bahawa betapa kerdilnya manusia di sisi Tuhan yang Maha Esa. Saya berjalan merentasi titian kanopi ini sepanjang 860 langkah yang saya kira sendiri di dalam hati.

            Selain daripada pengalaman yang telah disebutkan di atas, perlu juga saya sebutkan di sini bahawa aktiviti simulasi khemah juga merupakan salah satu program yang perlu diberi perhatian oleh semua peserta termasuklah diri saya sendiri. Apa yang boleh saya pelajari daripada aktiviti simulasi khemah – memasang dan membuka semula khemah yang telah dipasang ini ialah dapat mengetahui teknik dan cara-cara pemasangan khemah yang sepatutnya. Dalam hal ini, aspek mengetahui setiap cara, langkah dan prosedur yang betul dalam memastikan khemah dipasang dengan baik dan sempurna adalah penting bagi menjamin keselesaan dan keselamatan para pengguna. Semasa aktiviti ini diadakah juga, didapati setiap peserta sibuk memasang khemah masing-masing tanpa menghiraukan teknik dan peraturan memasang khemah dengan betul. Impaknya, setelah khemah siap dibina, maka masing-masing kelihatan agak gembira dengan khemah yang telah didirikan tetapi tidak mengetahui risiko khemah yang telah dibina kerana gagal menepati unsur-unsur dan peraturan memasang khemah yang telah ditetapkan. Oleh sebab khemah yang dibina gagal menepati kriteria keselamatan yang telah ditetapkan, maka para fasilitator  telah mengarahkan kami membuka semula khemah dan membina semula berdasarkan konsep keselamatan yang betul dan sempurna.

            Tambahan itu juga, aktiviti lain yang telah saya laksanakan bersama-sama rakan-rakan yang lain ialah aktiviti air iaitu “Rapid Shooting”. Aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti yang dikira sangat menarik kerana saya dan rakan-rakan dibawa menaiki bot penumpang yang memuatkan seramai 12 orang setiap bot (mengikut kumpulan masing-masing). Perjalanan menaiki bot selama lebih 40 minit menelusuri Sungai Tembeling ini sebenarnya menuju ke perkampungan orang asli kaum Batek di salah satu kawasan di sepanjang sungai tersebut. Semasa menaiki bot tersebut, pengalaman berharga yang saya perolehi ialah bot-bot yang kami naiki salaing berlumba antara satu sama lain dengan dikawal oleh pemandu bot yang berpengalaman dan dibantu oleh pemandu pelancong. Abang pemandu pelancong telah membasahkan kami dengan ‘pertarungan bot’ dengan menahan air dengan pendayung. Bot-bot dari pasukan lawan juga melakukan hal yang sama. Saya sangat gembira kerana inilah kali pertama saya dibasahkan oleh orang lain semasa menaiki bot laju ini.

            Kami tiba di perkampungan orang asli setelah hampir 45 minit menaiki bot sepanjang Sungai Tembeling. Banyak perkara baharu yang dapat saya pelajari semasa berada di perkampungan orang asli ini. Untuk catatan di sini, orang asli ini berasal daripada suku kaum Batek. Saya telah mempelajari beberapa perkara misalnya cara-cara menyumpit dengan betul, cara menghidupkan api tanpa menggunakan mancis, cara membuat sumpit dan kami juga turut diperkenalkan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat racun di mata sumpit dan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat sesuatu sumpit dengan baik. Setelah selesai sesi penerangan tersebut, saya dan rakan-rakan diberi peluang untuk meninjau setiap rumah yang didiami oleh warga orang asli di sini dan melihat corak kehidupan mereka dengan lebih dekat. Di sini, saya dapat mempelajari beberapa perkara iaitu kita seharusnya lebih bersyukur kerana telah dilahirkan dalam keadaan yang sempurna dan hidup dengan segala kesempurnaan selama ini. Bersyukur di sini bermaksud kita mestilah menggunakan setiap peluang dan ruang yang ada untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan untuk membangunkan negara dengan lebih sempurna.

Bahagian B – Kekuatan Program Yang Telah Dikenalpasti

            Setelah memikirkan setiap aktiviti yang telah dilaksanakan dalam program Perkhemahan Sukan dan Rekreasi ini, saya telah dapat mengenalpasti beberapa kekuatan daripada program ini adalah seperti berikut:

  1. Setiap aktiviti yang dijadualkan dilaksanakan dengan sempurna dan mampu memberi pengalaman baharu kepada semua peserta yang terlibat.
  2. Aktiviti yang dilaksanakan didapati menepati kehendak dan matlamat pembelajaran subjek Pendidikan Jasmani (Sukan dan Rekreasi) kerana semua aktiviti yang diadakan adalah bersifat santai dan tanpa tekanan kepada mana-mana peserta.
  3. Aktiviti yang dilaksanakan dalam program perkhemahan ini didominasi oleh aktiviti berasaskan kecergasan mental dan fizikal. Misalnya aktiviti kanopi walk, ia lebih menguji kecerdasan mental para peserta kerana semua peserta dipaksa melawan sifat takut dan gerun untuk melalui titian tersebut. Begitu juga dengan aktiviti ‘junggle trekking’, ia lebih menguji kekentalan dan kecergasan fizikal para peserta supaya semua peserta dapat menamatkan aktiviti dengan keadaan yang selamat.
  4. Pihak yang telah dilantik untuk menguruskan peserta sepanjang program mampu menanamkan sifat keterbukaan dan mampu ‘berkawan’ dengan semua peserta sepanjang program berlangsung.
  5. Semua pemandu pelancong yang diberi tanggungjawab membantu peserta sepanjang program mampu memberikan pendedahan dan perkongsian ilmu bersama para peserta mengenai sesuatu perkara

Bahagian C – Kelemahan Program Yang Telah Dikenalpasti

            Selain kekuatan yang telah disenaraikan di atas, saya juga telah dapat mengenalpasti beberapa kelemahan yang telah timbul sepanjang program berlangsung. Antaranya adalah seperti berikut:

  1. Senarai aktiviti yang terdapat dalam tentative program sangat longgar. Hal ini adalah disebabkan para peserta terlalu diberi banyak masa untuk berehat. Hal ini bermaksud, masa rehat bagi semua peserta terlalu lama pada waktu tengah hari.
  2. AJK Makanan dilihat gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik. Hal ini adalah kerana terlalu kerap berlaku rungutan daripada para peserta sendiri apabila tibanya waktu makan. Para pelajar akan bersesak-sesak di tempat mengambil makanan, kerana AJK Makanan gagal memberikan maklumat secara terperinci berkaitan waktu makan yang sebenar. Hal ini berikutan terdapatnya pertindihan waktu makan antara lelaki dan peserta perempuan. AJK Makanan juga dilihat gagal membahagiakan makanan secara adil kepada para peserta kerana terdapat peserta yang merungut apabila mendapat lauk yang sedikit manakala ada yang mendapat lauk lebih. Kredibiliti AJK Makanan dalam hal ini dipersoalkan.
  3. AJK Keselamatan didapati tidak memainkan peranan yang sebaiknya semasa program dilaksanakan. Contohnya, jadual penjaga malam secara bergilir-gilir gagal dilaksanakan kerana semua peserta hanya tidur di dalam bilik yang telah disediakan. Oleh yang demikian, adalah sesuai bagi hemat saya bahawa AJK Keselamatan ini lebih menumpukan tugas-tugas keselamatan yang lain.
  4. AJK Kerohanian juga dilihat gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna. Jadual imam dan bilal bagi setiap kali solat gagal dilaksanakan. Hal ini juga mungkin disebabkan oleh para peserta yang solat secara bersendirian di dalam bilik dang ingkar arahan yang diberikan sebelum ini iaitu solat secara berjemaah di surau. Sebaiknya, masa-masa terluang selepas setiap kali solat diisi dengan slot-slot keagamaan dan tazkirah. Tambahan itu juga, AJK Kerohanian bagi pelajar non-muslim didapati TIDAK melaksanakan tanggungjawab langsung. Saya dapati bahawa tiada sebarang aktiviti kerohanian sepanjang program perkhemahan ini berlangsung. Oleh yang demikian, para pelajar non-muslim gagal untuk bangun lebih awal pada setiap pagi. Hal ini akan lebih menyukarkan AJK lain untuk melaksanakan tanggungjawab kerana semua peserta akan lewat untuk turun bagi slot senaman pagi.
  5. Aktiviti yang penting – Ikhtiar Hidup tidak disenaraikan dalam aktiviti sepanjang kami berada di sini. Kami percaya bahawa para fasilitator yang telah dilantik mempunyai pengalaman yang luas dalam hal ini, tetapi malangnya slot tersebut tidak disediakan untuk diajara dan diberi pendedahan kepada kami, sedangkan item ini turut disenaraikan dalam sukatan pelajaran ini.
  6. AJK Aktiviti juga didapati terdapat sedikit kepincangan kerana pada hemat saya, sebelum memulakan setiap aktiviti, seharusnya ajk yang terlibat memberikan sesi taklimat atau penerangan ringkas kepada semua peserta berkaitan aktiviti yang akan dijalankan. Terdapat peserta yang menimbulkan rungutan ini kerana tidak pasti aktiviti apakah yang akan dilaksanakan berikutnya dan mereka terpaksa kerap merujuk pengerusi atau naib pengerusi. Sepatutnya tugas ini dilaksanakan dengan begitu teliti oleh ajk dan ahli-ahli yang terlibat.
  7. Terdapat juga arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pengerusi perkhemahan tidak diikut sepenuhnya oleh sesetengah peserta perkhemahan. Contohnya, arahan untuk bersedia lebh awal dan menepati masa yang telah ditetapkan dilihat kurang berkesan. Begitu juga terdapat dalam kalangan peserta yang merokok tanpa segan silu walaupun diperhatikan oleh pensyarah. Saya secara peribadinya amat terkilan dengan situasi ini dan berharap AJK Disiplin dan Tatatertib memainkan peranannya secara lebih progresif pada masa-masa yang akan datang.

Bahagian D – Saranan Pendapat / Perkongsian Idea

            Pada hemat saya selaku peserta program perkhemahan sukan dan reklreasi ini, saya melihat bahawa keseluruhan program yang dianjurkan di Taman Negara Kuala Tahan ini dapat dijayakan dengan sempurna. Hal ini adalah disebabkan oleh kesepaduan antara peserta yang telah ditunjukkan dan membuatkan hati saya begitu yakin bahawa akan ada lagi unit-unit selepas ini yang akan menganjurkan program seumpamanya di tempat yang sama. Akan tetapi, bagi menampakkan hasil yang lebih memberangsangkan, beberapa perkara susua;an mestilah dilaksanakan supaya beberapa kelemahan yang disenaraikan dapat diatasi dengan sebaik yang mungkin. Hal ini termasuklah memperkemas skop dan tugas setiap jawatankuasa yang telah dilantik supaya mereka lebih memahami apakah peranan sebenar mereka. Selain itu, setiap peserta juga mestilah diberi sesi taklimat dan pendedahan yang sebetulnya dan secukupnya agar mereka lebih memahami dan dapat menaikkan semangat mereka untuk lebih bergiat aktif dalam setiap perkara yang dijadualkan. Tambahan itu juga, para peserta mestilah memandang program perkhemahan di Taman Negara Kuala Tahan ini sebagai sesuatu yang sangat positif. Kurangkanlah membandingkan antara tempat ini dengan tempat-tempat yang lain. saya amat yakin dan percaya bahawa ada yang tidak berpuas hati kerana destinasinya terletak jauh di pedalaman. Tetapi, sedarlah bahawa di sini juga, banyak ilmu dan pengalaman baharu yang boleh ditimba bersama-sama dalam membangunkan diri dan menjadi seorang bakal pendidik yang kompetan dan sejati.

            Oleh yang demikian, saya sangat berbangga kerana dapat bersama-sama rakan seperjuangan saya dalam menjayakan program perkhemahan Sukan dan Rekreasi Pendidikan Jasmani ini dengan jayanya, semoga usaha murni ini dapat diunjurkan lagi pada masa-masa yang akan datang.

One thought on “Refleksi Umum Taman Negara

Sila Tinggalkan Komen Anda..

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s